Solat Sunnah

Antara sembahyang sunat isyak dan sunat witir, mana satukah yang harus di kerjakan dahulu?

Solat Witir hanya boleh dikerjakan selepas solat fardhu Isyak dan ia juga dikenali sebagai penutup ibadah solat dalam sesuatu hari. Solat sunat ba'diyyah Isyak pula dilakukan sejurus selepas melakukan solat fardhu. Maka dahulukanlah solat sunat ba'diyyah Isyak sebelum menunaikan solat sunat witir kerana masanya terhad sedangkan masa untuk solat witir hinggalah sebelum Subuh.

Bilakah solat sunat fajar boleh dilakukan?

Solat sunat fajar boleh dilakukan selepas azan dan sebelum solat subuh.

Adakah wajib membaca do’a iftitah di dalam solat sunat?

Membaca do’a iftitah hukumnya adalah sunat dan bukan wajib, tidak kira samada bagi solat sunat atau solat wajib. Maka dibenarkan membaca do’a iftitah di permulaan solat ataupun tidak.

Dalam solat sunat, apakah hukum membaca surah selepas membaca surah al-Fatihah?

Dalam solat sunat, seperti juga solat fardhu, membaca surah selepas Al-Fatihah adalah perkara sunat. Jadi, terpulang pada anda untuk membacanya atau tidak.

Bagaimanakah caranya menunaikan solat hajat?

Solat hajat dilaksanakan seperti solat sunat dua rakaat biasa. Bacaan di dalamnya adalah seperti yang biasa dibaca pada solat sunat lain, iaitu mengikut kemampuan anda sendiri. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa. Hajat permintaan anda kepada Allah S.W.T. boleh anda sebutkan selepas selesai dari solat.
Namun, anda juga boleh berdoa tatkala sedang sujud. Hanya tidak boleh menyebut doa dengan bahasa Melayu, kerana ia membatalkan solat anda. Maka anda boleh menyebut doa di dalam hati (sekiranya di dalam bahasa Melayu). Allah S.W.T. mengetahui bisikan dan permintaan hambanya di dalam hatinya.

Bagaimanakah menunaikan solat taubat?

Solat Taubat boleh dilakukan sebanyak dua rakaat.
Niatnya adalah : " Sahaja aku sembahyang sunnat taubat dua raka'at kerana Allah ta'ala "
Tiada bacaan yang khusus di dalam solat ini. Apa yang perlu ditanamkan di dalam hati adalah keikhlasan untuk bertaubat serta berazam supaya tidak mengulangi perbuatannya yang lalu.

Bagaimanakah mengerjakan solat sunat istikharah?

Cara-cara mengerjakan solat sunat istikharah adalah seperti dengan solat sunat yang lain. Niatnya adalah "Sahaja aku solat sunat istikharah dua rakaat kerana Allah Ta'ala". Surah yang boleh dibaca adalah surah al-Kafirun pada rakaat pertama selepas surah fatihah dan pada rakaat ke dua boleh dibaca surah al-Ikhlas. Setelah anda selesai solat bolehlah beristighfar dan banyakkanlah berserah diri dengan Allah. Kemudian berdoalah dengan doanya. Untuk maklumat lebih terperinci dan juga mengenai doa solat istikharah anda bolehlah merujuk buku-buku panduan solat sunat yang ada dijual di kedai-kedai buku yang menjual buku-buku yang bercorakkan agama.

Bilakah waktu yang paling sesuai untuk menunaikan solat dhuha?

Solat Dhuha boleh dilakukan bermula dari setengah jam selepas terbit matahari, ke lebih kurang 10 minit sebelum Zohor.

Apakah hukum solat Witir?

Solat Witir adalah sunat yang digalakkan sebagai penutup solat sebelum tidur, atau sebelum solat Subuh jika bangun Tahajjud. Pernah diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w tidak pernah meninggalkan solat sunat Witir. Begitu juga, sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Zar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w menasihatinya agar jangan meninggalkan solat sunat Witir.