Al-Jabbar

SIFAT PERKASA ALLAH.


KITA sering mendengar ungkapan: Manusia merancang, Tuhan menentukan. Begitulah dengan resam alam. Manusia sentiasa berkehendak, namun kehendak ILAHI mengatasi segalanya.



Sifat Maha Berkehendak lagi Maha Perkasa terpapar dalam nama indah ALLAH Azzawajalla iaitu ‘Al-Jabbar’.


ALLAH mempunyai kehendak (Iradah) dan DIA-lah yang meluluskan kehendak-NYA pada tiap-tiap sesuatu dan kehendak-NYA tidak dapat diluluskan seseorang pun. Tidaklah terkeluar seseorang daripada genggaman-NYA, segala kuasa adalah di bawah kekuasaan dan perlindungan-NYA.


Maka ‘Al-Jabbar’ adalah sifat yang mutlak bagi ALLAH saja. Al-Jabbar Maha Perkasa, mencukupi segala keperluan, melaksanakan segala perintah-NYA serta memperbaiki keadaan seluruh makhluk-NYA.


Hamba yang bersifat ‘Al-Jabbar’ ialah yang berkedudukan sebagai pengawas (pemerintah) yang terlepas daripada mengikut orang lain dan boleh memaksa para pengikutnya kepada keadaan dan sikapnya. Dia boleh memerintah orang tetapi dia tidak boleh diperintah, orang lain mengikutnya tetapi dia tidak mengikut orang.


Tiadalah bahagian si hamba pada sifat ini melainkan hanya tertentu kepada penganjur manusia iaitu Nabi Muhammad ShalALLAHu`alaihiwasalam seperti sabdanya:
"Jika Nabi Musa masih hidup, tiadalah dia berkuasa melainkan mengikutkan aku kerana akulah penganjur anak-anak Adam tetapi tiadalah aku bermegah-megah kerananya."


~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.


ALLAHu a`lam bisawab.