Al-Ghaffar

AL-GHAFFAR MENGAMPUNI DAN MENUTUPI AIB.


ANTARA nama indah
ALLAH Azzawajalla ialah 'Al-Ghaffar'.
Kata dasar 'Al-Ghaffar' ialah 'Al-Ghafr',
yang bererti tutup, selindung atau tudung.



Maksudnya ialah ALLAH menutupi dosa-dosa hamba-NYA dan mengampuninya semata-mata dengan kelebihan dan rahmat-NYA, seperti firman-NYA dalam hadiths Qudsi:

“Wahai hamba-KU, jika kamu mendatangi AKU (di akhirat) dengan dosa sepenuh bumi sekalipun, nescaya AKU berikan keampunan sepenuhnya kepadamu selama kamu belum menduatigakan (syirik) AKU.”


Al-Ghaffar adalah yang menzahirkan kebaikan dan menutupi kekejian di dunia dan memaafkan daripada melakukan seksaan-NYA di akhirat.


  1. Disebutkan bahawa Al-Ghaffar itu ialah tutupan kerana DIA yang pertama-tama menutupkan hati-hati mereka daripada godaan syaitan. DIA menjadi ‘penudung’ untuk kebaikan kemanusiaan.

  2. Kedua, tutupan ALLAH terhadap lintasan-lintasan hati mereka yang tercela dan kehendak-kehendak mereka yang keji sehingga tidak kelihatan hal itu kepada seseorang.

  3. Ketiga ialah tutupan ALLAH pada mengampuni dosa-dosa si hamba untuk melindungi keaibannya di hadapan makhluk-makhluk (di akhirat).

Sesungguhnya ALLAH telah menjanjikan mereka bahawa akan digantikan kejahatan dengan kebaikan.


Sebagai kewajipan hamba terhadap Al-Ghaffar, hendaklah dia berusaha menutupkan keaiban orang lain seperti maksud sabda Baginda SallALLAHualaihiwasalam:

“Barangsiapa menutupi keaiban seseorang Mukmin, nescaya ALLAH akan menutupi keaiban dirinya di hari kiamat.”
(Hadiths Riwayat Bukhari)


Sesungguhnya telah diberitakan tentang Nabi Isa Alaihisalam bahawa dia bersama penolong-penolongnya (Hawari) telah menjumpai bangkai seekor anjing yang sudah membusuk.


Maka bertanyalah penolong-penolongnya:

”Mengapa bangkai ini busuk sekali?”


Nabi Isa Alaihisalam menjawab:

”Sebaik-baik perkara ialah yang putih bersih.”


Maksudnya ialah sebagai penjagaan atau penudung bagi mereka, maka mereka hendaklah menyebutkan perkara-perkara yang baik-baik saja.


~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.


ALLAHu a`lam bisawab.