Al-Wahhaab

YANG MEMBERI TANPA HARAPKAN BALASAN.


SEGALA kurnia ALLAH Azzawajalla kepada kita merupakan nikmat yang tiada ternilai dan terhitung.



Hal ini memerikan sifat-NYA
iaitu Al-Wahhaab
- yang memberi tanpa diminta
atau sesuatu pemberian yang bersih
daripada mengharapkan balasan.


Sesungguhnya, ALLAH Azzawajalla Maha Pemurah dan Maha Pemberi sehingga segala isi alam ini diberi kepada manusia sebagai 'khalifah' iaitu pengamanah, pentadbir dan pemelihara.


Pemurah dan pemberinya ALLAH Azzawajalla bukan bertujuan mengharapkan balasan atau faedah daripada yang diberi-NYA.


Nama indah, Al-Wahhaab memancarkan keagungan ALLAH Azzawajalla dalam memberikan kurnia. Prof Dr Hamka berkata:

”Janganlah mengeluh apa yang diminta itu tidak terkabul. Banyak pemberian-NYA walaupun tidak diminta sebelumnya.”

Manusia juga dianjurkan memiliki sinar sifat Al-Wahhaab iaitu pemurah atau suka memberi kepada yang memerlukan tanpa mengharapkan balasan atau ganjaran.


Sebaliknya, ganjaran untuk si dermawan hanyalah kerana mencintai ALLAH Azzawajalla dan melaksanakan suruhan-NYA serta mengharap keredhaan-NYA.


Oleh itu, bersikap dermawan merupakan usaha untuk mendekati nilai sifat ALLAH Azzawajalla ini.


Malah dengan banyak bersedekah, menunaikan zakat dan suka memberi itu merupakan lambang dalam mensyukuri nikmat-nikmat-NYA yang banyak ke atas kita.


Inilah citra seorang insan yang senantiasa bersyukur kepada-NYA, sebagaimana janji-NYA:

”Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti KAMI akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-KU), maka sesungguhnya azab-KU sangat pedih.”
(Surah Ibrahim ayat 7)

~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.


ALLAHu a`lam bisawab.