ALLAH - nama bagi Tuhan Yang Maha ESA

NAMA PENCIPTA YANG MENYELURUH.


Kekata ‘ALLAH’ mempunyai erti yang terkandung dalam seluruh nama ALLAH (Asmaul Husna) iaitu Tuhan Yang Tunggal yang serba sempurna dan kepimpinan yang maha besar lagi tinggi serta maha berkuasa. Ia merupakan ‘istilah’ khusus dalam bahasa Arab tetapi digunakan di seluruh dunia kerana tiada dapat diterjemahkan.


Tiada suatu yang wajib disembah, kecuali ALLAH Azzawajalla. Tiada yang lebih berkuasa selain ALLAH. ALLAH mengajar manusia pertama, Nabi Adam Alaihisalam, dengan pelbagai nama (ilmu). Oleh itu, ALLAH yang mengajarkan kepada ciptaan-NYA (makhluk) termasuk malaikat, jin, manusia dan seluruh seisi alam. Sebagai Yang Maha Berkuasa, ALLAH mengutuskan malaikat (Jibrail Alaihisalam) sebagai perantaraannya kepada manusia yang dipilih-NYA (Rasul dan Nabi).


Mengapakah manusia diajarkan oleh ALLAH?

Jawapannya: Manusia tidak mempunyai ilmu untuk menjangkau zat ALLAH. Oleh itu, tiada satu perkataan atau kalimat yang lengkap dan dapat mengumpulkan maksud yang dikehendaki ALLAH, kecuali ALLAH saja yang mengajarkannya kepada manusia.


Lafaz ‘ALLAH’ disebut juga lafaz jalalah. Ia disebut ‘ismudz zat’ iaitu zat yang menciptakan seluruh alam ini dan isinya, termasuk kita manusia. Dialah Tuhan seru sekalian alam. Dialah yang mengeluarkan segala sesuatu daripada tiada kepada yang ada. ALLAH hanya tunggal (Maha ESA) - tidak beranak dan diperanakkan. Hal ini ditegaskan dalam maksud surah Al-Ikhlas.


Daripada 99 nama ALLAH yang harus kita ketahui, kekata ‘ALLAH’ disebut paling banyak dalam kitab suci Al-Quran iaitu 2,696 kali. Oleh itu, nama ‘ALLAH’ lebih besar daripada seluruh 99 nama sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah (Riwayat Tirmidzi). Yang demikian, tiada orang atau benda yang bernama ‘ALLAH’ kecuali ini dilakukan untuk menghina Islam.


Maksud firman ALLAH Azzawajalla:
"Kalau ada tuhan selain ALLAH, di langit dan di bumi, maka langit dan bumi pasti binasa."
( Al-Anbia’ ayat 22 )

Namun ada tanggapan yang disebarluaskan bahawa nama ALLAH merupakan salah satu nama patung atau berhala di zaman Jahiliyah atau dewa bulan yang disembah oleh orang Arab. Hal ini merupakan tohmah semata. Ini kerana ALLAH Azzawajalla memelihara ‘Nama-NYA’.


Sesiapa yang ingin mengenal Islam perlu mempelajari Tauhid (kepercayaan kepada ALLAH Azzawajalla), fikah (hukum dan perundangan Islam) dan tasawuf (penyucian rohani). Ketiga-tiganya terkait dalam pengertian Iman, Islam dan Ihsan.


ALLAH memerintahkan kita menyebut nama-nama-NYA untuk beroleh kejayaan.


~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.


ALLAHu a`lam bisawab.