Perlaksanaan Solat

Apakah akibatnya orang yang meninggalkan solat?

Tertulis di dalam Al-Qur'an ayat yang memerintahkan agar mengerjakan solat dan solat itu wajib. Rasulullah s.a.w bersabda: Solat itu adalah tiang agama. Barangsiapa yang meninggalkan solat maka ia telah merobohkan agamanya. Dan dalam hadith yang lain, Rasulullah s.a.w bersabda: Perbezaan antara orang Islam dan bukan Islam adalah solat.

Maka orang yang meninggalkan solat secara sengaja, ditakuti ia akan mati dalam keadaan kafir.

Apakah hikmahnya di sebalik gerakan-gerakan solat?

Solat secara keseluruhannya ada hikmahnya yang tersendiri. Gerakan-gerakannya pula mengajar kita berdisiplin dan menurut beberapa kajian juga, sebahagian gerakan mempunyai kelebihan dari segi kesihatan dan fizikal.

Apakah hikmahnya di sebalik selawat ke atas Nabi Ibrahim a.s. yang dibaca pada tasyahhud akhir?

Nabi Ibrahim juga dikenali sebagai Bapa kepada nabi-nabi. Nabi-nabi Bani Israel datang dari keturunannya, ini termasuk Nabi Ishaq, Yusuf, Musa, Harun, Zakaria, Isa dan lain-lain. Keturunan Nabi Muhammad s.a.w juga berbalik kepadanya. Oleh itu, kita memberi selawat dan hormat ke atas Nabi Ibrahim a.s. di akhir setiap solat, sepertimana yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w sendiri.

Apakah itu sujud sahwi?

Sujud sahwi ialah sujud yang dilakukan orang untuk menutup kekurangan yang terjadi dalam pelaksanaan solat yang disebabkan lupa.
Sebab-sebab sujud sahwi ada tiga; Kerana kelebihan, kerana kekurangan, dan kerana ragu-ragu.
Sujud sahwi dilakukan selepas tasyahhud akhir dan sebelum salam dan bilangannya ada dua kali sujud. Selepas sujud sahwi yang pertama kita hendaklah duduk seperti duduk antara dua sujud dan harus membaca bacaan seperti bacaan duduk antara dua sujud. Kemudian dari itu sujud sahwi kali kedua dan kemudian memberi salam.

Apakah hukum membaca do'a qunut semasa solat subuh?

Sesetengah ulama seperti ulama mazhab Syafii berpendapat bahawa membaca doa qunut pada setiap kali sembahyang Subuh adalah sunat yang tidak harus ditinggalkan. Walau bagaimanapun, tidak mengapa sekiranya seorang itu meninggalkan doa qunut sama ada sengaja atau pun tidak. Mengikut satu riwayat, semasa Imam Syafii berziarah ke Baghdad, dia tidak pernah membaca doa qunut ketika sembahyang Subuh semata-mata kerana memuliakan pengikut-pengikut Imam Abu Hanifah. Perbuatan Imam Syafii tersebut menunjukkan bahawa sekiranya ada perkara-perkara yang kurang disukai oleh masyarakat, perlulah kita bertolak ansur selagi mana ia tidak lari dari landasan Islam. Doa qunut merupakan sunat muakkadah yang mana sekiranya seseorang itu meninggalkannya ia patut digantikan dengan sujud sahwi selepas tasyahhud akhirnya sebelum dia memberi salam.

Bolehkah seseorang itu menghadiahkan solat kepada yang telah meninggal dunia?

Tidak ada dalam agama Islam yang dikatakan "sembahyang hadiah" bagi orang mati. Orang yang sudah meninggal dunia perlu dimandikan, dikafankan dan disolatkan. Solat tersebut dinamakan solat jenazah. Ia adalah solat yang tiada sujud dan ruku', kerana sujud dan ruku' hanyalah untuk Allah s.w.t, bukan untuk makhluk lain.
Waris digalakkan agar mendoakan bagi si mati, mengeluarkan sedekah bagi si mati, dan meneruskan silaturrahim yang dibina oleh si

Bagaimanakah seseorang yang berada di kapal menunaikan solatnya?

Bagi solat dalam pelayaran, jika pelayarannya hanya kurang dari 3 hari, maka anda boleh jamak solat, dan juga qasarkan solat tersebut. Jamak bermakna melakukan solat Asar pada waktu Zuhur, atau Zuhur pada waktu Asar. Begitu juga melakukan solat Isyak pada waktu Maghrib atau Maghrib pada waktu Isyak. Tidak boleh jamakkan antara Asar dan Maghrib, dan antara Isyak dan Subuh, dan Subuh dan Zuhur. Qasar bermakna memendekkan solat 4 rakaat kepada 2 rakaat sahaja.
Jika pelayaran anda mengambil masa lebih dari 3 hari, maka anda tidak boleh jamak dan qasar. Tetapi solat seperti biasa pada waktunya. Waktu Zuhur adalah 10 minit selepas tergelincirnya matahari (meridian passing of the Sun). Waktu Asar lebih kurang 1 jam sebelum matahari tenggelam. Waktu Isyak selepas 2 jam matahari tenggelam. Waktu Subuh 1 jam sebelum terbit matahari.
Bagi mengadap kiblat, anda perlu mengetahui arah Kiblat. Ini dapat dikira dengan mudah menggunakan formula segi tiga (spherical trigonometry) dengan menggunakan koordinat kapal anda dan koordinat Mekkah (39 E, 21 N).
Sekiranya ketika dalam solat, kapal ubah haluan, solat anda tetap sah dan tidak perlu qadak, kerana anda sudah mengadap Kiblat pada awal

Seseorang yang sudah lanjut usia serta uzur memerlukan bag air kencing (urine bag) bagi membuang air kecil. Bagaimana solat bagi mereka?

Caranya adalah apabila dia mengangkat wuduk dan membasuh muka, dia perlu niat berikut: Sahaja aku istibahah solat. Lakukan wuduk seperti biasa, dan terus mengerjakan solat wajib, tanpa buang masa. Wuduk tersebut hanya untuk satu solat wajib sahaja. Jika dia ingin kerjakan solat sunat, dia perlu ambil air wuduk sekali lagi.

Ketika sedang solat zohor, terdengar azan menandakan masuk fardhu asar, apa harus dilakukan?

Tidak perlu henti solat Zohor tersebut. Ia dianggap sah selagi mana rakaat pertama telah dikerjakan dalam waktunya.

Apa yang harus dilakukan apabila seseorang itu kurang pasti bila masuk waktu solat kerana tidak mendengar Azan dan berpegang kepada jam tangan sahaja?

Antara amalan yang baik bagi mereka yang tidak mendengar Azan dan berpegang kepada jam sahaja adalah untuk melebihkan 10-15 minit sebelum bersolat atau berbuka puasa. Ini adalah untuk memastikan bahawa anda solat atau berbuka puasa pada waktu yang betul.

Di manakah arah kiblat di Singapura?

Arah kiblat Singapura secara umumnya adalah 293 darjah dari Utara mengikut putaran kompas.

Bagaimanakah seseorang itu memastikan arah kiblat dari mana-mana lokasi di dunia?

Kompas biasa boleh digunakan. Contohnya, jika seseorang itu berada di Australia, biarlah jarum kompas itu berpandukan tanda Utara-Selatan dan pastikanlah penjuru 295 dengan kompas tersebut.
Jika anda telah berusaha dan berijtihad untuk mendapatkan arah kiblat lalu mendapat tahu bahawa arahnya adalah salah tapi ia kurang dari 180 darjah dari arah yang betul, maka anda tidak perlu melakukan solat semula. Walaubagaimanapun, jika arah yang silap adalah arah yang berlawan dengan arah yang betul, maka anda haruslah mengulangi solat mengikut arah kiblat yang betul.