Al-Mu`izz, Al-Mudzill

YANG HINA DAN MULIA DI SISI-NYA.


ALLAH `Azzawajalla mengurniakan kemuliaan ke atas sesiapa
dan menghinakan sesiapa yang dikehendaki-NYA.



Sifat ini menunjukkan
ALLAH Maha Kuasa di atas segala sesuatu.
Dan sifat ini disebut Al-Mu`izz
(menganugerahi kemuliaan)



dan Al-Mudzill (merendahkan martabat).



Berdasarkan nama indah atau sifat tadi, jelaslah kekuasaan-NYA bersifat mutlak - mengatasi segala kuasa yang ada dan sekali gus membuktikan kelemahan makhluk-NYA. Sehebat mana pun seseorang insan seperti firaun, tetapi di sisi ALLAH `Azzawajalla adalah kehinaan.


Kurnia (martabat) dan sebaliknya merupakan ujian ALLAH `Azzawajalla kepada manusia. Ujian merupakan proses untuk menilai iman dan takwa seseorang. Kurniaan-NYA perlu disyukuri. Hal ini terpapar pada kegigihan RasuluLlah ShalALLAHu`alaihiwasalam bersolat malam sehingga ditegur isteri tercintanya, `Aisyah RadiALLAHu`anha, yang hairan.


RasuluLlah ShalALLAHu`alaihiwasalam menyatakan perbuatannya
sebagai tanda mensyukuri nikmat-NYA.


Jika dihitung nikmat Ilahi, tidak akan terkira oleh kita. Semakin kaya atau berilmu sehingga dipandang mulia, maka seseorang harus menunjukkan rasa kesyukurannya. Untuk itu janganlah berbangga diri dengan kelebihan yang ada.


Tidak perlu berduka cita jika ujian datang menimpa kerana kedua-duanya dengan kehendak-NYA. Kita diperintah bersyukur jika mendapat nikmat-NYA walau sekecil apa pun dan bersabar apabila mendapat ujian-NYA.


Sesungguhnya ALLAH `Azzawajalla akan menguji hamba-hamba-NYA dalam bentuk kebaikan dan keburukan. Dengan perkataan lain: Belum tentu baik itu akan menghasilkan kebaikan dan keburukan itu akan berakhir dengan keburukan malah mungkin kebalikannya.


Dalam kehidupan di dunia ini, kita hanya diperintah berbuat sesuatu sesuai dengan kemampuan dan petunjuk-NYA. Adapun hasil daripada usaha tersebut serahkan kepada-NYA kerana DIAlah yang Maha Kuasa di atas segala sesuatu. Seperti firman-NYA di dalam ayat 286, Surah Al-Baqarah:

"ALLAH tidak memberatkan seseorang melainkan sedaya kemampuan yang ada padanya."


Sebagai kewajipan hamba dalam memahami nama ALLAH `Azzawajalla di atas, hendaklah memuliakan sesuatu yang disuruh muliakan dan menghinakan sesuatu yang disuruh hinakan.


~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.



ALLAHu a`lam bisawab.