Al-Malik

MERAJAI SELURUH ALAM.



AL-MALIK ialah Yang Maha Merajai dan Maha Berkuasa pada Zat dan Sifat-NYA daripada setiap yang maujud (yang ada), dan DIA dikehendaki oleh setiap yang ada. Dan adanya sesuatu itu adalah daripada adanya DIA (ALLAH) atau yang datang daripada-NYA.


ALLAH Azzawajalla Maha Terkaya daripada setiap sesuatu dan DIAlah pemilik yang mutlak (sebenar-benarnya). ALLAH mentadbirkan semua makhluk tanpa berhajat kepadanya dan tidak ada tandingan kebesaran dan ketinggian-NYA.


Tiadalah diiktiraf bahawa manusia mempunyai kerajaan mutlak kerana setiap sesuatu yang dimiliki manusia adalah kepunyaan ALLAH belaka, dan setiap sesuatu yang mungkin memerlukan setengah perkara dan tidak perlu kepada yang lain, maka itu adalah suatu ketetapan daripada ‘Al-Malik’ (Pengatur - ALLAH).


DIAlah sebagai Pemilik Kerajaan yang terdiri daripada tentera-tentera (malaikat-malaikat) dan rakyat-rakyat (penghuni bumi) yang senantiasa patuh kepada-NYA.


Adapun manusia merupakan sebuah kerajaan yang dipimpin oleh hati dan perubahan. Maka tentera manusia ialah syahwat keinginannya, kemarahan dan nafsunya dan rakyatnya ialah lidah, tangan, mata dan sekalian anggotanya.


Jika seseorang hamba terfikirkan dia masih mempunyai milik dalam kehidupan yang fana ini, maka sedarilah bahawa keupayaannya itu akan hilang pada bila-bila masa saja daripadanya dengan dua jalan:

Pertama: Sama ada dia meninggal dunia atau ditinggalkannya atau diberikannya kepada orang lain sedangkan ALLAH adalah pemilik hidup dan mati dan pemilik hidup kembali.


Kedua: Gugurlah pengakuan memilik selain ALLAH berikutan tiupan pertama (mula kiamat) yang sewaktu itu ALLAH membuat pertanyaan kepada makhluk dengan firman-NYA:

"Bagi siapakah kerajaan pada hari ini?’ Tiada seorang pun yang menjawab lalu ALLAH sendiri menjawabnya dengan firman-NYA: Bagi ALLAH Yang Maha Esa dan Maha Perkasa."
( surah Al-Ghafir ayat 16 )

Disebabkan itu, tiadalah pengakuan kerajaan bagi yang lain daripada ALLAH sendiri. Raja hanya seorang di dalam sebuah negara. Begitu jugalah alam semesta dunia ini. Hanya seorang Raja atau Pemerintah Yang Maha Agung iaitu ALLAH Azzawajalla.


Erti ‘raja’ itu tertentu pada yang berakal saja yang bertugas, menyuruh, melarang dan membalas. Boleh disebut ‘raja’ manusia, tetapi tidak boleh disebut ‘raja’ sesuatu seperti firman ALLAH:
Katakanlah aku berlindung dengan Tuhan manusia, Raja manusia."
( surah An-Naas ayat 1-2 )

Raja manusia ialah yang menguasai manusia, membatasi pekerjaan manusia, mengatur kekuatan manusia, menurunkan peraturan dan meletakkan batas umum untuk manusia yang tidak boleh dilanggar atau dilampaui oleh manusia.


DIAlah yang mempunyai sekalian perkara. Begitu juga kuasa mengadakan atau menjadikan barang yang belum pernah terjadi.


~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.


ALLAHu a`lam bisawab.