Al-Muhaimin

MEMERHATI, MEMERINTAH DAN MENJAGA.


INDAH nian nama ALLAH
yang terdapat
dalam kekata Al-Muhaimin.


Ia bermaksud ALLAH Maha Memelihara atau Maha Mengurus. Tentulah ALLAH Azzawajalla yang memelihara dan menguruskan segala urusan makhluk-NYA dalam perbuatan-perbuatan mereka, tentang rezeki dan ajal mereka dengan memerhati, memerintah dan menjaganya. Maka himpunan ketiga-tiga pengertian (memerhati, memerintah dan menjaga) itulah yang terkandung dalam sifat Al-Muhaimin. Tiada persoalan yang berhimpun secara mutlak dan sempurna melainkan bagi ALLAH.


Al-Muhaimin nama ALLAH yang terdapat dalam kitab-kitab yang terdahulu. Maknanya ialah yang terbuka sifat-NYA kepada alam ini dan sesuatu yang berhubungan dengan alam tersebut. Dialah (ALLAH) penjaga yang bertanggungjawab dengan penjagaan dan pemeliharaan yang sempurna. Al-Muhaimin juga membawa maksud sifat pemerhati - Maha Teliti dalam penjagaan dan pengintaian. Juga erti Al-Muhaimin ialah Asyahid (Yang Menyaksikan).


Pelajaran yang kita ambil daripada nama ALLAH, "Al-Muhaimin" ini adalah:

  • Hendaklah kita membuat penjagaan di atas diri sendiri dengan memeriksanya dan berhati-hati dalam setiap tindakan atau pekerjaan.
  • Jagalah perkataan kita bak peribahasa - sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa.
  • Jagalah hati kerana hati menguasai seluruh tindakan dan penuturan kita.


Amalkan selalu membaca ‘Ya ALLAH Ya Muhaimin’ agar kita sedar akan keindahan dan makna tindakan, tutur kata dan hati yang perlu dijaga dan diaturkan.

Semoga ALLAH membersihkan zahir dan batin kita agar terus bercahaya pula kalbu kita. (Amin ya RABB...)


~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.


ALLAHu a`lam bisawab.