Prosedur Fatwa

Apa Itu Fatwa?

Dari segi bahasa: Memberi jawapan / penjelasan bagi sesuatu masalah agama.
Dari segi istilah: Penjelasan mengenai hokum syarak oleh Mufti bagi sesuatu masalah agama berdasarkan dalil syarak sebagai jawapan kepada sesiapa yang bertanya, baik secara sendiri atau berkumpulan.
Proses memberikan jawapan dibuat sama ada secara bersendirian oleh sesaorang Mufti atau secara berjemaah oleh sesebuah Jawatankuasa Fatwa atau Majlis Fatwa.

Adakah Fatwa Disyariatkan Di Dalam Islam?

Islam mensyariatkan umatnya bertanya kepada orang yang berilmu sekiranya mereka mendapati sesuatu masalah itu tidak jelas hukumnya. Firman Allah s.w.t:
Bermaksud: “…Maka hendaklah kamu bertanya kepada Ahl Al-Zikr jika kamu tidak mengetahu”. (Al-Anbiya ayat 7)
Bidang-Bidang Fatwa
* Isu atau masalah yang timbul dalam masyarakat dan belum jelas hokum mengenainya
* Pendapat yang berbeza antara ulama yang memerlukan pemilihan (tarjih)
* Isu-isu telah difatwakan di negara-negara lain yang perlu disesuaikan mengikut keadaan setempat
* Isu-isu yang bersifat global dan berkaitan dengan kepentingan umat Islam

Apakah Prosedur Untuk Mengeluarkan Fatwa?

Prosedur yang diamalkan dalam pengeluaran fatwa di Singapura ada termaktub dalam Akta Pentadbiran Hukum Islam seperti berikut:
* Permohonan fatwa
* Dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Fatwa
* Fatwa dikeluarkan oleh Pengerusi, Jawatankuasa Fatwa (Mufti), apabila sebulat suara Jawatankuasa Fatwa dicapai

Bagaimana Jawatankuasa Fatwa Mengeluarkan Fatwa?

* Dikaji dan dibentangkan dalam Jawatankuasa Fatwa
* Lazimnya, mengikut pendapat muktamad dalam mazhab Syafie
* Jawatankuasa Fatwa juga boleh memilih pendapat-pendapat Ahli Sunnah Wal Jamaah jika ia bersesuaian dengan maslahah umum
* Mengikut kaedah Fiqh Al-Aulawiyaat iaitu meletakkan sesuatu pada kedudukan yang sewajarnya, samada dari segi hukum, nilai mahupun perlaksanaannya. Perkara / amalan yang lebih utama hendaklah didahulukan, berdasarkan penilaian syariat dan akal
* Jawatankuasa Fatwa akan merujuk juga kepada pendapat-pendapat sahabat, tabiin, imam- imam mazhab dan fuqaha dengan penelitian terhadap dalil-dalail dan implikasinya.

Apakah Sumber-Sumber Rujukan Mengeluarkan Fatwa?

Sumber rujukan utama mengikut susunan: \
* Al-Quran
* Al-Sunnah
* Al-Ijmak
* Al-Qiyas
Antara Sumber rujukan lain:
* Saddu Al-Zarai’e
* Al-Masalih Al-Mursalah
* Al-Urrf / Al-‘Adah Muhakkamah
* Syr’u Man Qablana
* Al-Istishab
* Al-Istihsan
* Kaedah-Kaedah Fiqh

Bolehkah Fatwa Berubah?


Fatwa boleh berubah mengikut perubahan zaman, tempat dan keadaan. Antara faktor utama perubahan fatwa ialah maslahah (keperluan umum) kerana syariat Islam terbina di atas maslahah manusia dunia dan akhirat.

Siapakah anggota Jawatankuasa Fatwa Muis ?


Jawatankuasa Fatwa Muis dianggotai oleh para ulama tempatan yang mempunyai kepakaran dalam bidang syariah, berpengalaman dalam hokum hakam agama dan berwibawa.
Berdasarkan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (AMLA), anggota Jawatankuasa Fatwa terdiri daripada:
* Mufti negara Singapura (Pengerusi Jawatankuasa)
* Dua orang ulama daripada anggota Majlis Tertinggi Muis
* Dua orang ulama yang bukan anggota Majlis Tertinggi Muis

Bagaimana Cara Memohon Fatwa?


Untuk mendapatkan fatwa bagi keperluan peribadi, permohonan boleh dibuat melalui surat atau lelaman internet.
Permohonan melalui surat:
Hantarkan surat permohonan anda bersama butir-butir peribadi yang lengkap. Seperti, nama, alamat, no talipon, dan no. kad pengenalan ke alamat:

Setiausaha,
Majlis Ugama Islam Singapura
273, Braddell Road
Singapore 579702