Al-Khaliq, Al-Baari', Al-Musawwir

MAHA MENCIPTA, MEREKA DAN MERUPAKAN.


AL-KHALIQ
ertinya mengadakan
sesuatu yang belum ada.




AL-BAARI’
ertinya yang menciptakan sesuatu kejadian
mengikut peraturan (nidzam) yang ditetapkan.





AL-MUSAWWIR
pula ertinya merupakan setiap kejadian
menurut ketetapan-NYA sejak azali (permulaan)
menurut ilmu-NYA yang tersedia dan inilah yang dikatakan Al-Hakim.


DIAlah yang Maha Bijak menyesuaikan sesuatu rupa pada tempatnya, menciptakan makhluk mengikut kehendak-NYA sendiri tanpa dipengaruhi sesiapa pun. Sesungguhnya ketiga-tiga nama ini (Al-Khaliq, Al-Baari' dan Al-Musawwir) adalah semakna, yang kesemuanya bererti yang Maha Mencipta, Mereka (Membentuk) dan Merupakan.


Menurut Imam Ghazali Rahimahullah, sesuatu pekerjaan itu bukanlah setakat menjadi dan merekakan sahaja kerana setiap perkara yang diadakan daripada (tidak kepada ada) itu perlu kepada takdir (ketetapan) dari awal-awal (permulaan) lagi dan memerlukan persesuaian ketetapan yang kedua iaitu (qada').


ALLAH Azzawajalla mengadakan semuanya itu menurut kekuasaan-NYA, mencipta menurut rekaan dan ciptaan-NYA dan merupakan sesuatu rekaan dengan sebaik-baik peraturan-NYA.


Dalam memahami nama-nama perbuatan ALLAH ini, kita perlu membuat perbandingan dengan seorang jurutera yang hendak mendirikan sesebuah bangunan.


Sesuatu bangunan itu memerlukan pelan-pelan yang tertentu seperti kedudukan tanahnya, susunan batu dan kayu serta ukuran tinggi dan lebarnya. Kemudian tanah itu ditandai dan dipancang, barulah kemudian diperlukan bahan-bahan untuk mendirikan bangunan dan sebagainya.


Berlainan halnya dengan perbuatan ALLAH kerana DIA sendiri yang membuat ketetapan (pelan-pelan), mencipta dan kesemuanya. Tegasnya, ALLAH sendiri yang mencipta dan merupakan (membentuk) sesuatu.


Manusia adalah salah satu daripada makhluk-NYA yang memerlukan kepada adanya sesuatu, lalu dijadikan perawakan tubuh, kemudian dimasukkan nyawa (roh) dan sifat yang memanusiakan yang hidup lagi berakal.


Demikianlah perbandingan ketetapan urusan dan mencipta daripada tiada kepada ada. Dengan lain perkataan, ilmu ALLAH mencakupi segala sesuatu, dalam pengetahuan-NYA segala sesuatu, dan segala sesuatu tunduk kepada kekuasaan dan kehendak-NYA.


~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.


ALLAHu a`lam bisawab.