Ar-Rahman

MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG.



AR-RAHMAN dan Ar-Rahim
daripada kata dasarnya, Ar-Rahmah.



Ar-Rahman adalah perkataan yang dipakaikan kepada orang yang pengasih, yang menjadi tempat pergantungan orang lain sedang Ar-Rahmah yang sempurna ialah Yang melimpahi kurnia kepada si hamba sama ada dipinta atau tidak serta umum untuk dunia dan akhirat. Kepada mereka diberikan keperluan, hajat dan kepentingannya.


Kalangan ulama' berpendapat, Ar-Rahman itu ialah memberikan keperluan dalam urusan dunia dan Ar-Rahim ialah yang memberikan keampunan di akhirat. Ar-Rahman lebih khusus daripada Ar-Rahim kerana ia tidak boleh dipakaikan kepada yang lain daripada ALLAH Azzawajalla, sedangkan Ar-Rahim boleh dipakaikan kepada yang lain sebab ia mendekati sifat seperti Al-Ilmu (Yang Mengetahui).


ALLAH Azzawajalla berfirman:
"Pohonilah ALLAH atau pintalah kepada Ar-Rahman. Mana-mana juga nama yang kamu pohonkan."
( Surah Al-Isra' ayat 110 )

Maka kata Rahmah itu dapat difahamkan daripada kata Ar-Rahman (Pengasih) melebihi daripada segala yang kasih.


Dengan kata lain, ALLAH Maha Pengasih, ALLAH tidak pernah berpilih kasih. ALLAH Maha Penyayang, kasih ALLAH tidak terbilang.


Kerana itu Ar-Rahman adalah yang mengasihi hamba dalam empat peringkat:

  • pertama - DIA menciptakan hamba-NYA;
  • kedua - DIA menunjuk mereka kepada keimanan dan jalan-jalan kebahagiaan;
  • ketiga - DIA memberi kebahagiaan di akhirat; dan
  • keempat - DIA melahirkan keseronokan kepada hamba-NYA apabila dapat memandang wajah-NYA Yang Maha Mulia (di dalam syurga).

Berhubung dengan nama Ar-Rahman ini maka kita, selaku hamba ALLAH Azzawajalla, berkewajiban mengasihi hamba-hamba ALLAH lainnya (termasuk bukan Islam), seperti mengajaknya ke jalan kebaikan apabila mereka lalai, dan mencegahnya apabila mereka terjebak ke dalam kancah maksiat melalui pengajaran dan nasihat melalui konsep (Ar-Rahmah) iaitu mengasihi orang-orang yang derhaka.


Menurut tatanan bahasa Arab, setiap kalimah yang wazan (setimbang) dengan Ar-Rahman menunjukkan sifat yang mendatang dan yang sewazan (setimbangan) dengan Ar-Rahim menunjukkan sifat yang tetap. Kerana itu makna Ar-Rahman ialah yang melimpahkan nikmat dan kurniaan manakala Ar-Rahim itu menunjukkan rahmat ALLAH itu berlanjutan dan tetap ada. Seseorang yang berbuat baik mendapat pahala dan hasil yang berguna sebagai tanda ALLAH Azzawajalla mengasihinya.


Sebaliknya seksaan ALLAH ke atas orang yang berbuat maksiat. Ini juga tanda kasih ALLAH. Kalau tidak dilaksanakan aturan itu, tentu terjadi kebinasaan dan huru-hara di dunia ini. ALLAH Azzawajalla mempunyai ihsan dan nikmat, sekalian hamba-NYA karam di dalam nikmat ALLAH. Tidak boleh seseorang memberikan nikmat itu atau menghalangnya. Daripada kemurahan-NYA, setiap makhluk-NYA menerima rezeki dan pemeliharaan-NYA.


Selanjutnya ALLAH mengatur seluruh alam ini bukanlah kerana terpaksa, bukan pula kerana mengharapkan balasan daripada sesiapa, bahkan semata-mata kerana sifat Rahman dan Rahim-NYA.


~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.


ALLAHu a`lam bisawab.