Al-`Aliim

SETIAP SESUATU DIKETAHUI ALLAH.


Sering kali apabila kita berdepan dengan masalah tetapi tiada saksi, maka terlafaz kata-kata: "ALLAH Maha Mengetahui."


Nama indah ALLAH, Al-`Aliim, bererti Maha Mengetahui.
Pengetahuan ALLAH Subhana wa Ta`ala meliputi setiap sesuatu baik yang nyata mahupun yang tersembunyi, yang halus mahupun yang kasar, yang awal mahupun yang akhir dan pembukaan mahupun penyudahannya.


Sering diratibkan: "ALLAH Al-`Aliim Al-`Aliim Al-`Allam"
(ALLAH Maha Mengetahui, ALLAH Yang Maha Mengetahui dan ALLAH Yang Banyak Mengetahui).



Pengetahuan ALLAH menyeluruh ke atas setiap tempat. Tidak ada yang terselindung bagi-NYA. ALLAH mengetahui segala gerakan di darat dan di laut. Sehinggakan sehelai daun kayu jatuh ke bumi, tumbuhan menusuk tanah, yang kering dan yang mati, ALLAH mengetahui kesemuanya.


ALLAH mahukan kita memerhatikan alam ini dan belajar daripadanya untuk kita menyedari bahawa pengetahuan ALLAH meliputi segala sesuatu.


Ini terpapar dalam maksud firman-NYA:
"Tidakkah kamu perhatikan bagaimana unta itu dijadikan, dan bagaimana langit itu ditinggikan, bagaimana gunung itu dipacakkan, bagaimana bumi itu dibentangkan."
(Surah Al-Ghaasyiyah ayat 17-20)


Selanjutnya, ALLAH memerintahkan agar kita menyedari bahawa DIA mengetahui apa yang ada dalam diri kita.


Apabila kita mengimani bahawa ALLAH Mengetahui dan Melihat, maka tidak ada satu pun di bumi dan di langit yang boleh menutupinya, dengan demikian mendorong kita beristiqamah mematuhi perintah-NYA dan menjauhi larangan-NYA.


Inilah yang disebut sebagai ihsan berdasarkan penjelasan RasuluLlah ShalALLAHu`alaihiwasalam yang bermaksud:

"Beribadahlah kepada ALLAH seakan-akan engkau melihatNYA, jika tidak melihat-NYA, maka DIAlah yang melihatmu."
(Riwayat al-Muslim)


Kini dalam zaman serba canggih, kita dengan mudah boleh mengetahui segala sesuatu yang terjadi di luar negara melalui peralatan canggih ciptaan manusia. Dan ini kadangkala membuat para `ilmuan menjadi pongah (sombong) dengan pengetahuan yang dikuasainya.


Ya, memang manusia dapat memahami hakikat kehidupan dan rahsia di balik penciptaan sehingga ke tahap yang menakjubkan.


Mereka telah menemukan pelbagai cara dan peralatan untuk dapat mengenal rahsia di sebalik alam raya ini.


Tetapi apabila kita memerhatikan `ilmu ALLAH, maka kita akan sedar bahawa pengetahuan manusia hanya ibarat setitik air di atas lautan dan sebesar biji zarah di alam raya ini.


Tentang Al-`Aliim, Ibnu Qayyim RahimahuLlah berkata:

"DIA Maha Tahu, ilmu-NYA meliputi segala yang ada di alam raya, yang tersembunyi mahupun yang nyata. Pengetahuan-NYA meliputi segala sesuatu. DIA yang meliputi. Tidak ada yang terlupa. DIA mengetahui apa yang akan terjadi esok, yang telah terjadi kelmarin, yang ada saat ini dan yang belum terjadi."


~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.


ALLAHu a`lam bisawab.