Al-Khaafidh, Ar-Raafi`

MENAHAN DAN MENGURNIAKAN ANUGERAH.


Apa jua di alam semesta ini dan isinya adalah kurnia ILAHI. Namun untuk ciptaan-NYA, menerima kurnia atau tidak merupakan pertimbangan-NYA.


Untuk itu, ALLAH menyatakan nama-NYA
sebagai Al-Khaafidh - bermaksud menahan nikmat
ke atas sesiapa yang dikehendaki-NYA kerana didapati menghina-NYA.




Sebaliknya, ALLAH `Azzawajalla bernama Ar-Raafi` kerana mengurniakan kepada para wali-NYA sebagai memberi pertolongan dan petanda memuliakannya
dan menempatkan orang-orang kafir kepada kecelakaan
dan kehinaan petanda menghinanya.


Dengan kata lain: ALLAH `Azzawajalla menempatkan orang-orang Mukmin di tempat kebahagiaan dan keamanan (Syurga) dan orang-orang kafir di Neraka.


Barangsiapa selamat hatinya daripada hal keduniaan yang penuh penipuan dan khayalan dan pujukan nafsu syahwat yang merugikan, sesungguhnya dia telah diangkat dan diselamatkan ALLAH dan menempatkannya bersama para malaikat-NYA.


Sebaliknya mereka yang hatinya penuh sesak dengan hal keduniaan dan khayalan serta mengikuti kemahuan hawa nafsu yang membinasakan, ALLAH `Azzawajalla menurunkan kedudukannya ke lapisan yang paling rendah.


Tiada sesiapa yang boleh merubah keputusan ini selain ALLAH `Azzawajalla kerana DIA sajalah yang sebenarnya Al-Khaafidh dan Ar-Raafi`.


Pengajaran daripada Al-Khaafidh dan Ar-Raafi` adalah hendaklah kita senantiasa menjunjung atau menjulang tinggi kebenaran sekalipun berdepan dengan halangan, cabaran dan gangguan.


Lantas, kita hendaklah menyingkir segala kepalsuan walaupun mendapat ganjaran.


~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.


ALLAHu a`lam bisawab.