AL-MUTAKABBIR
ertinya
Maha Megah.
Memandang sesuatu secara kehinaan kerana kebesaran dan keagungan itu merupakan hak mutlak ALLAH Azzawajalla sahaja.
Pandangan-NYA kepada yang lain seperti pandangan raja kepada rakyatnya - tiadalah pengertian yang demikian secara mutlak dan sempurna melainkan hanya bagi ILAHI sahaja.
Dikatakan bahawa sifat kesombongan dan keagungan itu ialah semata-mata untuk menceritakan peri patut dan layaknya ALLAH Azzawajalla bersifat dengan kebesaran dan kesempurnaan.
Al-Mutakabbir adalah kumpulan bagi makna-makna ‘membersih’ (bersih daripada sifat-sifat kekurangan). Maka barang siapa yang mengenal Ketinggian ALLAH, Kebesaran dan Keagungan-NYA pastilah dia berasakan kerendahan dan kehinaan dirinya.
Ini seperti sabda Baginda ShalALLAH`ualaihiwasalam yang bermaksud:
“ALLAH mengasihi seseorang yang mengenal kedudukan dirinya, menyebabkan dia tidak melanggar batas-batas ke dudukannya.”
Kesombongan, jika dipandang dari sifat kemakhlukan (kemanusiaan), adalah tercela kerana sesungguhnya makhluk adalah bersifat kekurangan. Maka orang yang sombong memaksakan dirinya bersifat dengan sifat-sifat yang tidak layak.
Dalam hadiths Qudsi, ALLAH Azzawajalla berfirman yang maksudnya:
"Keagungan (kesombongan) itu Selendang-KU dan kebesaran itu Sarung-KU, maka sesiapa yang merebutkan kedua-duanya daripada-KU, nescaya AKU murkai dan AKU tidak akan mempedulikannya."
(Hadiths Riwayat Muslim)
Pengertian keagungan dan kebesaran itu adalah sama. Sifat kibriya itu adalah untuk mengemukakan sifat-sifat kebesaran yang nyata, sedang adzamah pula untuk menyatakan sifat-sifat kebesaran yang batinnya sesuai dengan perbandingan kain selendang (di luar) dan kain sarung (di dalam).
~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.
ALLAHu a`lam bisawab.