Al-Qahhaar

TIADA SUATU DI LUAR KUASA-NYA.



AL-QAHHAAR
ertinya Maha Menguasai.
Ia adalah nama yang ke-16 menurut susunan.



ALLAH Azzawajalla menguasai sepenuhnya dalam perkara-perkara tadbiran-NYA.


Tidak ada yang maujud (ada) ini melainkan di bawah kekuasaan-NYA, dan semua tunduk di bawah perintah-NYA, sama ada dengan suka atau terpaksa seperti firman-NYA di dalam Al-Quran surah Al-An’aam ayat 18 yang bermaksud:

“Dan DIAlah Yang Maha Berkuasa ke atas hamba-hamba-NYA...”


Imam Ghazali RahimahuLlah berkata:

“Beruntunglah kita mengetahui bahawa ALLAH itu bersifat ‘Al-Qahhaar’ sebagai sifat keperkasaan yang mengatasi seteru-seteru-NYA lalu dikalahkan-NYA mereka dengan kematian dan kehinaan.”


Bahkan tiadalah yang maujud ini melainkan dengan sendirinya tunduk di bawah keperkasaan dan kekuasaan-NYA. Segala-galanya menjadi lemah (makhluk) kerana berada di dalam genggaman-NYA.


Lemahlah seseorang untuk menentang godaan syaitan sebagai musuh dan lemah pula untuk menentang nafsu sendiri.


Jika ia tidak diberikan ALLAH dengan kekuasaan (iman dan ilmu) untuk mengatasi kedua perkara ini nescaya seseorang mudah dikalahkan oleh syaitan (jin dan manusia) dan nafsunya.


Sejak zaman Bahari (Nabi Adam Alaihisalam), iblis telah bersumpah untuk merosakkan manusia menerusi godaan ke atas nafsunya dengan pelbagai daya tarikan dan tipu daya.


Oleh itu, seorang Mukmin yang kembali hendaklah berserah kepada ALLAH yang ‘Qahhaar’, selepas berikhtiar dengan gigih, bagi menghuraikan perkara yang besar ataupun yang kecil.


Seseorang yang memahami hakikat ‘Al-Qahhaar’ akan terhapus daripada hatinya perasaan cinta dunia dan kehebatan sesuatu selain ALLAH Azzawajalla.


ALLAH akan menolongnya dalam menghadapi musuh-musuhnya.


~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.


ALLAHu a`lam bisawab.