Showing posts with label Puasa. Show all posts
Showing posts with label Puasa. Show all posts

Puasa Sunnah

Bilakah hari-hari yang disunatkan berpuasa?

Hari-hari yang disunatkan berpuasa ialah :
1) Puasa 6 hari di bulan Syawal.
2) Puasa Rejab dan Sya'ban
3) 9 hari awal pada bulan Zulhijjah
4) 10 Muharram
5) Puasa hari Isnin dan Khamis
6) Puasa pada 13,14 dan 15 setiap bulan.

Apa itu puasa enam dan apakah ganjarannya?

Puasa enam adalah puasa selama enam hari, berturut-turut atau berpisah-pisah, di bulan Syawal. Niatnya adalah: Sahaja aku puasa enam esok hari kerana Allah Ta'ala.
Ganjaran puasa Ramadan yang kemudian diikuti dengan puasa enam adalah seperti berpuasa sepanjang tahun.

Haruskah seseorang itu puasa enam secara berturut atau boleh dipisah-pisahkan?

Puasa 6 hari di bulan Syawal boleh dilakukan berturut-turut atau dipisah-pisahkan.

Bolehkah seseorang itu puasa enam dan berniat sekali qadha' puasa Ramadan?

Ulama berselisih pendapat tentang qadha puasa Ramadan dan puasa enam, mana satukah yang perlu didahulukan. Ada ulama berpendapat bahawa wajib qadha dahulu sebelum puasa enam, kerana qadha adalah wajib dan puasa enam adalah sunat, dan wajib perlu didahulukan atas sunat.
Ulama lain pula berpendapat bahawa boleh puasa enam dahulu sebelum puasa qadha. Untuk jalan keluar, sekiranya seseorang itu mampu, hendaklah dia qadha puasanya dahulu sebelum puasa enam. Tetapi jika tidak mampu, maka boleh puasa enam dahulu.
Tetapi tidak dibolehkan niat puasa enam dan qadha sekaligus kerana wajib dan sunat tidak boleh disatukan dalam satu

Bolehkah seseorang itu berpuasa pada hari Sabtu sahaja tanpa berpuasa pada hari sebelum atau selepasnya?


Berpuasa pada hari Sabtu bersendirian adalah makruh, iaitu tidak disertakan puasa pada hari sebelum atau sesudahnya. Ini adalah kerana Islam menghormati agama lain, dan hari Sabtu adalah hari perayaan orang-orang Yahudi, sepertimana hari Jumaat adalah perayaan orang Islam, dan hari Ahad untuk orang Nasrani. Maka, Rasulullah s.a.w tidak menggalakkan kita berpuasa pada hari Jumaat sehingga Ahad jika tidak diikuti dengan puasa pada hari sebelum atau sesudahnya. Namun, puasa itu tetap sah.
Hukum ini adalah untuk semua puasa sunat, termasuk puasa enam Syawal.

Benarkah orang yang tidak pernah berpuasa sunat dilarang berpuasa pada pertengahan hingga akhir Sya’ban?

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Rasulullah S.A.W. bersabda: “Apabila telah sampai pertengahan Sya'aban, maka berhentilah puasa.”
Para ulama berselisih pendapat tentang hukum hadith ini. Sebahagian mengatakan bahawa hadith ini lemah. Sebahagian yang lain pula menerima hadith ini dan berpendapat bahawa hukum berpuasa selepas Nisfu Sya'ban adalah makruh sahaja, kecuali bagi mereka yang sudah terbiasa berpuasa, seperti puasa Isnin dan Khamis, dan juga mereka yang perlu membayar qadha' puasa Ramadan yang lepas.

Bolehkah diteruskan puasa sunat seseorang yang sentiasa terlupa melafazkan niat?

Puasa sunat boleh diteruskan walaupun seseorang itu terlupa berniat pada malam sebelumnya, selagi mana dia jatuhkan niat puasa sebelum waktu Zohor. Jika dia jatuhkan niat selepas waktu Zohor, maka tidak sah niat tersebut dan tidak sah puasa itu.

Bolehkah seseorang itu berpuasa pada hari ‘Asyura sahaja atau haruskah dia berpuasa pada kesemua sepuluh hari pertama bulan Muharram?

Adalah sunnah untuk berpuasa pada sepuluh hari pertama bulan Muharram. Walau bagaimanapun, dibolehkan juga untuk berpuasa pada hari ‘Asyura sahaja, dengan syarat ia tidak jatuh pada hari Sabtu.
Jika hendak berpuasa pada hari Sabtu, hendaklah diikuti dengan puasa pada hari Jumaat atau Ahad.
Read more

Qadha' & Fidyah

Apakah niat puasa qadha'?

Niat puasa qada' adalah: “Sahaja aku puasa qadha' esok hari kerana Allah S.W.T.”

Bolehkah seseorang itu puasa enam dan berniat sekali qadha' puasa Ramadan?

Ulama berselisih pendapat tentang qadha puasa Ramadan dan puasa enam, mana satukah yang perlu didahulukan. Ada ulama berpendapat bahawa wajib qadha dahulu sebelum puasa enam, kerana qadha adalah wajib dan puasa enam adalah sunat, dan wajib perlu didahulukan atas sunat.
Ulama lain pula berpendapat bahawa boleh puasa enam dahulu sebelum puasa qadha. Untuk jalan keluar, sekiranya seseorang itu mampu, hendaklah dia qadha puasanya dahulu sebelum puasa enam. Tetapi jika tidak mampu, maka boleh puasa enam dahulu.
Tetapi tidak dibolehkan niat puasa enam dan qadha sekali gus kerana wajib dan sunat tidak boleh disatukan dalam satu ibadat.

Bagaimanakah pembayaran bagi puasa yang tidak dapat ditunaikan di dalam bulan Ramadan?

Hukum pembayaran puasa terbahagi kepada beberapa bahagian:
1. Wajib Qadha’
· Orang yang sedang sakit dan sakitnya akan memberi mudarat kepadanya atau bertambah lambat sembuhnya jika dia berpuasa
· Orang yang meninggalkan puasa sewaktu belayar atau bermusafir kira-kira 84 km
· Ibu yang hamil atau menyusukan anak dan khuatir dirinya menjadi mudarat
· Orang yang sedang haid atau nifas
· Orang yang terlalu lapar atau dahaga yang boleh memusnahkan dirinya
· Orang yang batal puasanya kerana salah satu sebab yang membatalkannya.
2. Wajib Qadha’ dan Membayar Fidyah
· Ibu yang hamil atau menyusukan anak, sekiranya si ibu hanya khuatir anaknya menjadi mudarat
· Orang yang berhutang puasa yang belum dijelaskan sehingga bertemu dengan Ramadan yang lain
3. Tidak Wajib Qadha’ Tetapi Wajib Fidyah
· Orang sakit yang tidak berdaya untuk berpuasa dan harapan sembuh sangat tipis
· Orang yang lemah kerana sudah tua dan tidak mampu lagi untuk berpuasa

Bagaimana seorang wanita hamil yang tidak berpuasa kerana bimbang akan kandungannya boleh membayar qadha' puasa tahun lalu?

Jika anda tidak mengqadha' puasa anda sehingga Ramadan tahun ini, maka anda perlu mengqadha'nya selepas Ramadan ini dan membayar fidyah, iaitu satu mud beras bagi setiap hari.
Jika pada Ramadan ini anda tidak berpuasa kerana bimbangkan kandungan anda, maka anda perlu qadha'nya selepas Ramadan ini serta membayar fidyah, iaitu satu mud beras bagi setiap hari yang anda tinggalkan. Jika anda bimbangkan tentang diri anda sendiri, maka anda hanya perlu qadha'.

Bagaimanakan cara menghitung fidyah yang perlu dibayar bagi puasa yang di tidak disempurnakan?

Untuk perkiraan fidyah yang tepat, sila rujuk kepada lelaman berikut:
https://www.muis.gov.sg/eservices/fidyah_online.aspx

Haruskah saya membayar hutang puasa walaupun saya telah membayar fidyah?

Pembayaran fidyah ini tidak mengangkat tanggungjawab anda untuk menunaikan qadha’ puasa. Anda masih lagi perlu mengqadha’ puasa, selagi mampu melaksanakannya dari segi kesihatan.

Bolehkah saya membayar fidyah dengan menggunakan wang?

Allah S.W.T. berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 184:
Maksudnya: “Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (yaitu): memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”
Fidyah adalah memberi makan seorang miskin. Dan makanan ini merujuk kepada makanan asasi bagi rakyat negara orang yang berpuasa. Dalam konteks Singapura, ia adalah beras. Maka orang Islam Singapura yang membatalkan puasa Ramadannya, perlu membayar fidyah dengan 1 mud beras bagi setiap hari. 1 mud adalah lebih kurang 750 gram.
Namun, terpulanglah kepada kita untuk membayar dengan wang atau dengan beras. Di Singapura, memang lebih mudah dan baik untuk membayar dengan wang. Ini adalah kerana wang dapat diberi kepada orang miskin untuk membeli makanan beliau. Wang juga lebih mudah dan tidak seperti beras, dimana ia memerlukan tempat yang luas untuk menyimpannya, di samping masalah ‘shelf-life’, pembungkusan, kutu, tikus, dan sebagainya.
Wang fidyah akan bertambah setiap tahun sekiranya puasa yang ditinggalkan itu belum diqadha' lagi.

Bolehkah wang fidyah disalurkan kepada anak-anak yatim?

Wang fidyah adalah bagi membeli makanan bagi orang-orang miskin. Sekiranya anak-anak yatim tersebut termasuk dalam golongan orang-orang miskin, maka ia tidak mengapa. Jika mereka tidak termasuk dalam golongan miskin, maka tidak boleh salurkan wang fidyah kepada mereka.

Bagaimanakah seseorang waris membayarkan hutang puasa untuk seseorang yang sudah meninggal dunia?

Jika seseorang itu meninggal dunia, tetapi masih ada hutang puasa yang belum diselesaikan, warisnya berkewajipan untuk melunaskan hutang puasa tersebut. Caranya bukanlah untuk mereka berpuasa untuk si mati itu. Tetapi menggunakan harta pusaka si mati untuk membayar fidyah bagi hari-hari bulan Ramadan yang ia tidak puasa.

Jika seseorang itu belum qadha’ puasa sebelum Ramadhan yang akan datang, adakah dia perlu membayar fidyah sahaja atau membayar fidyah dan qadha’ sekali?

Fidyah harus dibayar jika seseorang itu tidak membayar puasa sebelum Ramadhan yang akan datang. Dan pembayaran tersebut harus diteruskan selagi mana qadha’ belum dilakukan. Ini adalah kerana fidyah tidak menggantikan qadha’.
Oleh itu, jika seseorang itu tidak berpuasa pada Ramadhan 2004, dan masih tidak mengqadha’nya sehingga tibanya Ramadhan 2005, dia harus membayar fidyah dan mengqadha’ puasa tersebut sebelum datangnya Ramadhan 2006. Jika masih belum qadha’ sehingga tibanya Ramadhan 2006, bayaran fidyah digandakan dan qadha’ juga harus dilakukan.




Read more

Yang membatalkan puasa

Apakah perkara-perkara yang membatalkan puasa?

Perkara-perkara yang membatalkan puasa adalah seperti berikut:
1) Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga badan yang terbuka dengan sengaja, kecuali kerana darurat yang berkaitan dengan kesakitan.
2) Makan, minum dan merokok. Adapun suntikan ubatan tidak membatalkan puasa.
3) Muntah dengan sengaja
4) Mengeluarkan air mani
5) Melakukan jimak (hubungan seks) pada siang hari
6) Kedatangan haidh, nifas atau kelahiran bagi wanita
7) Menjadi gila
8) Pitam sepanjang hari
9) Mabuk (yang menghilangkan daya pemikiran waras) sepanjang hari
10) Murtad, iaitu keluar dari agama Islam

Adakah membersihkan telinga atau hidung membatalkan puasa?


Di antara sebab batal puasa adalah memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan yang terbuka dengan sengaja. Membersihkan telinga atau hidung tidak semestinya membatalkan puasa. Ia dibolehkan dengan kadar yang sederhana dan berhati-hati. Contohnya, membersihkan telinga di kawasan yang tidak terlalu dalam. Namun, jika anda merasa ragu-ragu sekiranya perbuatan anda boleh membatalkan puasa, maka jangan lakukan, dan bersihkanlah telinga dan hidung di waktu malam.

Benarkah berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung menjejaskan puasa seseorang?


Berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung ketika berwuduk adalah sunat. Bagi orang yang berpuasa pula, maka tidak boleh berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung dengan berlebihan. Sekiranya seseorang berwuduk dengan tidak berlebihan dan air itu termasuk ke dalam kerongkong, maka puasanya tetap sah. Samalah keadaannya jika dimasuki debu jalanan, debu tepung atau lalat yang terbang masuk ke dalam kerongkong. Semua ini dimaafkan kerana tidak sengaja. Namun, jika seseorang berkumur-kumur dengan berlebihan, ia boleh menyebabkan air masuk ke dalam kerongkong, dan jika ini berlaku, maka puasanya batal.

Bolehkah seseorang itu menggunakan mouthwash untuk mengurangkan bau mulut semasa berpuasa?

Dalam sebuah hadith yang sahih, Rasulullah s.a.w telah bersabda bahawa bau-bauan yang datang dari mulut orang yang berpuasa adalah lebih manis di sisi Allah s.w.t daripada bau kasturi. Oleh itu, ia dianggap sebagai makruh untuk memberus gigi selepas waktu Zuhur. Jika memberus gigi dianggap sebagai makruh, maka apatah lagi penggunaan mouthwash.
Adalah cukup bagi seseorang itu untuk mengurangkan bau di mulutnya dengan mencucinya dengan air, tanpa memberus gigi atau menggunakan mouthwash. Walau bagaimanapun, jika seseorang itu masih juga ingin menggunakan mouthwash atau memberus gigi, maka ia tidak dilarang.

Adakah penggunaan solekan seperti gincu atau pengilat bibir (lip gloss) membatalkan puasa?


Puasa akan batal jika terdapat apa-apa gangguan/kemasukan di salah-satu dari lima pembukaan di anggota badan iaitu; telinga, hidung, tekak, dan kedua-dua kemaluan. Menggunakan solekan seperti celak atau krim muka tidak membatalkan puasa, akan tetapi ia boleh mengurangkan ganjaran puasa jika solekan tersebut dilihat oleh lelaki yang bukan mahram.
Bagi memakai gincu atau pengilat bibir (lip gloss) pula, jika ia tidak dijilat atau ia dijilat tetapi tidak ditelan, ia tidak membatalkan puasa, kalau tidak, puasa akan batal.

Adakah batal puasa seseorang itu jika tertelan makanan kerana lupa akan puasanya?

Puasa akan batal sekiranya seseorang itu menelan sesuatu dengan sengaja dalam keadaan dia sedar yang dia itu berpuasa. Tetapi jika dia terlupa bahawa dia sedang berpuasa dan menelan sesuatu, maka tidak batal puasanya. Hukum ini adalah umum untuk puasa wajib dan sunat.
Maka, sekiranya anda sedar dan ingat bahawa anda berpuasa, dan kemudian anda merasai makanan tersebut dan menelan air liur yang sudah terkena makanan itu, maka puasa anda batal. Tetapi jika anda terlupa yang anda berpuasa dan menelannya, maka tidak batal puasa anda selagi mana anda dengan segera membuang apa yang dalam mulut anda sebaik sahaja anda teringat yang anda sedang bepuasa.

Jika seseorang itu termuntah semasa berpuasa, adakah ini akan membatalkan puasanya?

Seseorang yang sengaja mengorek anak tekaknya agar muntah akan batal puasanya. Tetapi jika dia muntah dengan sendiri tanpa disengajakan, maka ia tidak membatalkan puasa.

Adakah penggunaan "inhaler" untuk pesakit semput dibenarkan semasa berpuasa?


Antara perkara yang membatalkan puasa ialah kemasukan sesuatu ke dalam badan melalui rongga yang terbuka. Namun, kemasukan sesuatu bahan seperti ubat inhaler di atas dasar darurat, yang berkaitan dengan kesukaran bernafas, dibolehkan syara. Oleh yang demikian, penggunaan inhaler yang berpatutan tidak membatalkan puasa.

Batalkah ibadah puasa seseorang itu jikalau dia menggunakan kata-kata kesat/bermaki hamun?


Rasulullah s.a.w bersabda yang mana maksudnya: Jika salah seorang dari kamu berpuasa maka janganlah ia berkata keji dan menyakitkan hati, dan jika ada orang yang mengajak kamu untuk bergaduh, maka katakanlah: Aku sedang berpuasa, aku sedang berpuasa.
Berkata kesat merosakkan ganjaran dan pahala puasa seperti yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w di atas, tetapi ia tidak membatalkan puasa. Tiada ulama dan mazhab yang berpendapat bahawa orang yang cakap kesat atau berbohong atau melakukan fitnah sekalipun, akan membatalkan puasa. Perkara-perkara yang membatalkan puasa adalah jelas dalam syariat Islam.

Apakah hukumnya orang yang berpuasa melakukan dosa mengumpat, bercakap bohong dan melihat wanita ajnabi dengan syahwat. Adakah sah puasanya?

Orang yang berpuasa wajib menjaga kata-kata atau tingkah lakunya daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan puasanya agar puasanya itu tidaklah hanya tinggal lapar, dahaga dan menahan diri sahaja, sedangkan pahalanya tiada.
Rasulullah s.a.w. bersabda: "Puasa itu adalah perisai. Apabila seseorang di kalangan kamu berpuasa, dia tidak boleh (bercakap kotor) dan melakukan maksiat. Apabila seseorang mencacinya atau ingin bergaduh dengannya, handaklah dia berkata: Aku sedang berpuasa." (Bukhari dan Muslim) Sabda Rasulullah lagi: "Sesiapa yang tidak meninggalkan tutur kata yang dusta, Allah tidak menerima hajatnya (puasanya) walaupun dia meninggalkan makan dan minum." (Bukhari, Ahmad dan Ashabus Sunan).
Menurut lbnu Arabi, yang dimaksudkan dengan hadis ini ialah tidak diberikan pahala puasanya. Maknanya, pahala puasa tidak layak diberi kepada pendusta. Saidina Umar berkata bahawa puasa itu bukanlah menahan diri daripada makan dan minum sahaja tetapi mesti juga menghindarkan diri daripada berdusta serta perkara-perkara yang batil dan melalaikan.

Adakah boleh saya menderma darah sewaktu berpuasa?

Menderma darah di dalam kuantiti yang sederhana dibolehkan dan tidak membatalkan puasa. Namun, pendermaan yang terlalu banyak sehingga menyebabkan kelemahan pada tubuh badan, sehingga tidak dapat menjalani ibadat puasa dengan baik, tidak digalakkan sama sekali.

Adakah seseorang yang sedang berpuasa itu boleh melakukan sukan renang?

Berenang boleh menyebabkan masuknya air ke dalam hidung dan/atau telinga perenang. Jika air memasuki badan cara sedemikian, adalah batal puasa seseorang. Dengan ini, sebagai langkah berjaga-jaga, mereka yang berpuasa dinasihatkan agar tidak berenang di siang hari Ramadan untuk mengelakkan dari terbatalnya puasa.

Adakah suntikan ‘insulin’ membatalkan puasa?


Suntikan insulin bagi pesakit kencing manis tidak membatalkan puasa. Ini adalah kerana suntikan tersebut bukanlah melalui rongga yang terbuka dan tidak pula memberi sebarang kekenyangan atau kepuasan kepada si pesakit.

Adakah pemeriksaan kesihatan yang melibatkan kemasukan alat atau jari ke dalam dubur membatalkan puasa?


Perbuatan doktor itu tidak membatalkan puasa anda kerana ia dilakukan untuk tujuan perubatan. Ia tidak melibatkan sesuatu yang sampai ke perut atau tekak lantas menghilangkan lapar atau dahaga.

Saya telah bermimpi sehingga mengeluarkan mani pada siang hari Ramadan, Adakah ia membatalkan puasa?


Bermimpi sehingga mengeluarkan mani dan mandi junub tidak membatalkan puasa. Malahan, sekiranya termasuk air ke dalam telinga atau tertelan air ketika berkumur-kumur (sewaktu mengambil wuduk atau mandi), puasa tidak terbatal kerana ia dikira tidak sengaja. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengampuni umatku yang tersilap, terlupa atau dipaksa melakukan sesuatu." (Riwayat At-Tabarani)

Bolehkah pesakit gingal menjalani ibadah puasa, terutama pada hari dialisis?


Puasa akan terbatal sekiranya dimasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka. Rongga yang terbuka adalah telinga, hidung, mulut dan kedua-dua kemaluan depan dan belakang. Dialisis di mana darah akan disedut keluar untuk dibersihkan dan kemudian dimasukkan kembali dalam badan, tidak termasuk dari perbuatan memasukkan sesuatu dalam rongga yang terbuka. Maka dialisis tidak membatalkan puasa.
Read more

Amalan di bulan Ramadan

Apakah kelebihan-kelebihan pada bulan Ramadan?

Bulan Ramadan mempunyai banyak kelebihan yang jika dihitung, maka ia akan menjadi senarai yang amat panjang. Antaranya adalah setiap amalan soleh dalam bulan ini digandakan pahalanya berlipat kali ganda. Bulan ini juga merupakan bulan di mana para Syaitan diikat oleh Allah s.w.t, pintu-pintu Syurga dibuka dan pintu-pintu Neraka ditutup. Bulan ini juga merupakan bulan latihan untuk bersabar dan mengingatkan kita akan kesusahan mereka yang kekurangan makan dan minum. Ia juga bulan Al-Quran dimana Al-Quran diturunkan dalamnya, dan mempunyai satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan.
Amat rugilah mereka yang tidak mengambil manfaat dari bulan ini.

Apakah cara terbaik untuk saya menghayati bulan Ramadan dan menambah amalan di dalamnya?

Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al- Baqarah ayat 185 yang bermaksud: “Bulan Ramadan diturunkan padanya Al Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (di antara yang hak dan yang batil).”
Sesuai dengan bulan Al-Qur’an ini, maka penghayatannya melibatkan tiga cara:
1. Berusaha membanyakkan amal baik dengan tujuan mengukuhkan keimanan dan mendapat keredhaan Allah S.W.T.
2. Mempertingkatkan ilmu, melalui pembacaan dan pengkajian Al-Quran, serta mempelajari sejarah Baginda Rasulullah S.A.W.
3. Menghayati nilai murni yang ditunjukkan dalam Al-Qur’an, terutama dari sudut akhlak. Tingkah laku kita sebagai orang yang beriman harus mencerminkan akhlah mulia yang diajar dalam kitab tersebut.

Penghayatan bulan Ramadan danAl-Qur’an tidak terbatas dalam lingkungan solat dan puasa secara ritual sahaja. Malah, lebih dari itu, kita mesti menghayatinya dalam setiap aspek kehidupan seharian kita dan melahirkannya dalam tingkah laku, pertuturan dan gerak hati .

Bilakah Lailat-ul-Qadr?

Tidak ada sesiapa yang boleh memastikan bilakah Lailat-ul-Qadr itu akan datang. Terdapat ramai ulama yang berpendapat bahawa ia jatuh pada malam 27 Ramadan. Akan tetapi, ia hanyalah satu ramalan dan bukanlah sesuatu yang pasti. Ini kerana ia sebenarnya boleh jatuh dimana-mana malam dari malam Ramadan yang pertama hinggalah malam yang terakhir. Juga tiada ayat Qur’an atau Hadith yang sahih yang mengatakan tentang bila sebenarnya Lailat-ul-Qadr.

Apa hukumnya solat tarawih?

Solat tarawih adalah sunnah yang sangat digalakkan pada malam-malam Ramadan. Ia adalah ibadat khusus di dalam bulan Ramadan, dan tidak dilakukan pada bulan-bulan lain.

Apakah kelebihan Solat Tarawih?


Solat Tarawih mempunyai banyak kelebihan kerana ia adalah ibadat solat yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya.
Namun, Rasulullah s.a.w tidak menyatakan fadilatnya yang khusus. Baginda juga tidak menyatakan fadilat solat Tarawih bagi setiap malam. Apa yang tersebar dari fadilat solat Tarawih bagi setiap malam yang berbeza, itu bukan hadith Rasulullah s.a.w, tetapi ciptaan manusia yang tidak berasaskan Al-Quran dan Hadith.

Bagaimanakah caranya menunaikan solat terawih?

Solat terawih adalah sangat digalakkan pada malam-malam Ramadan. Ia adalah ibadat khusus di dalam bulan Ramadan, dan tidak dilakukan pada bulan-bulan lain.
Masanya adalah setelah seseorang itu mengerjakan solat fardu Isyak. Afdal (utama) dikerjakan berjemaah di masjid. Namun, boleh dikerjakan bersendirian juga.
Solat terawih boleh dilaksanakan sebanyak 8 rakaat, 20 rakaat atau 36 rakaat, setiap 2 rakaat dengan satu salam. Cara menunaikannya adalah sama seperti solat sunat biasa (seperti sunat qabliyah (sebelum) atau ba’diyah (selepas) bagi solat fardhu lima waktu).
Menurut hadis Imam Al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah R.A. maksudnya: "Adalah Rasulullah S.A.W. sangat sukacita menganjurkannya supaya beramal di malam-malam bulan Ramadan, hanya Baginda itu tidak menganjurkannya dengan keras. Baginda S.A.W. bersabda: "Sesiapa yang menunaikan ibadat solat pada malam-malam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan semata-mata kerana Allah S.W.T., nescaya diampunkan oleh Allah dosa-dosanya yang lalu."

Bagaimana saya boleh mengerjakan solat witir?

Witir bermakna angka yang ganjil. Solat witir boleh dikerjakan pada tiap-tiap malam dan yang lebih afdal adalah pada bulan Ramadan, samada bersendirian atau berjemaah. Solat ini dikerjakan sekurang-kurangnya 1 rakaat dan boleh dikerjakan 3 rakaat, 5 rakaat, 7 rakaat, 9 rakaat dan sebanyak 11 rakaat.
Imam Abu Daud dan an-Nasa'i telah meriwayatkan sebuah hadis dari Abu Ayyub yang maksudnya: "Rasulullah SAW pernah bersabda" Solat witir itu adalah benar. Siapa yang suka mengerjakannya lima rakaat, kerjakanlah. Siapa yang suka mengerjakannya tiga rakaat kerjakanlah, dan siapa yang suka mengerjakannya satu rakaat sahaja pun, kerjakanlah."
Niat witir dua rakaat di dalam jemaah adalah seperti: "Sahaja aku solat witir dua rakaat menjadi makmum kerana Allah ta’ala." Niat witir satu rakaat pula di dalam jemaah adalah seperti: "Sahaja aku solat witir satu rakaat menjadi makmum kerana Allah

Bolehkah seseorang itu bangun malam dan bersolat witir sekali lagi walaupun sudah melakukannya di masjid?

Solat witir boleh dilaksanakan dari 1 sehingga 11 rakaat. Ia dilaksanakan selepas solat terawih di kebanyakan masjid untuk menutup tirai solat di waktu malam di dalam bulan Ramadan. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang itu telah menunaikan solat witir sebanyak 3 rakaat selepas terawih dan kemudian bangun di waktu malam menunaikan solat tahajjud, ia boleh menunaikan solat witir sebagai penambahan bagi 3 rakaat yang dilaksanakan selepas terawih. Caranya adalah dengan hanya bersolat 2, 4, 6, atau 8 rakaat dengan niat “Sahaja aku dirikan 2 rakaat dari solat sunat witir kerana Allah ta’ala.” Dengan demikian, ia tidak dikira mendirikan 2 witir pada satu malam kerana Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Tidak ada dua witir pada satu malam."
Read more

Perlaksanaan puasa

Apakah maksud dan kelebihan ibadat puasa?

Firman Allah s.w.t. di dalam al-Quran yang bermaksud "Hai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kepadamu mengerjakan puasa, sebagaimana telah diwajibkan kepada orang-orang terdahulu dari kamu, supaya kamu terpelihara dari kejahatan." (surah Al Baqarah: 183)
Di dalam Islam, puasa termasuk di antara ibadat-ibadat yang mendidik jasmani dan rohani. Menurut Syarak, puasa ialah meninggalkan makan, minum, merokok dan segala yang membatalkannya dari terbit fajar sadik hingga terbenam matahari.
Dari segi rohani, puasa akan mendidik jiwa manusia bersifat sabar, sanggup menghadapi kesukaran dan penderitaan untuk meningkatkan nilai rohani manusia.
Dengan berpuasa seseorang dapat melatih dan mendidik diri untuk mengatasi kebiasaan dan menolongnya menguasai jasmaninya serta me-lengkapkan diri dalam menghadapi kerumitan-kerumitan dan krisis-krisis di dalam kehidupan seseorang.
Nabi Muhammad saw pernah bersabda yang maksudnya: "Kami kaum yang tidak akan makan kecuali lapar dan apabila makan, kami tidak makan hingga kenyang."

Siapakah yang wajib berpuasa?

Orang-orang yang wajib berpuasa di dalam bulan Ramadan adalah seperti berikut:
* Beragama Islam
* Sudah cukup umur (baligh)
* Berakal; orang gila tidak wajib
* Berdaya mengerja tetap dalam negeri)

Apakah syarat-syarat sah puasa seseorang?

Seseorang yang ingin mengerjakan puasa sama ada puasa Ramadan atau puasa-puasa sunat mestilah melengkapi syarat-syarat yang berikut:
* Beragama Islam
* Berakal bukan gila
* Mumayyiz (Kanak-kanak yang dapat membezakan antara baik dan buruk iaitu berumur di antara 6 dan 7 tahun)
* Suci dari darah haidh, nifas dan kelahiran bagi orang-orang perempuan

Hari-hari yang dibolehkan berpuasa padanya. Hari-hari yang dilarang berpuasa ialah:
* 1 Syawal (Hari Raya AidilFitri);
* 10 Zulhijjah (Hari Raya Aidiladha);
* 11, 12, 13 Zulhijjah;
* 30 Syaaban.

Bilakah waktu berpuasa bermula? Adakah ia bermula pada waktu Imsak, Subuh atau Syuruk?

Puasa bermula dengan waktu Subuh dan bukan Imsak atau Syuruk. Walau bagaimanapun, adalah baik segala makan dan minum dihentikan 10 minit sebelum masuknya waktu Subuh sebagai persediaan untuk berpuasa.

Apakah yang disunatkan di dalam ibadat puasa?

Di dalam ibadat puasa, disunatkan perkara-perkara berikut:
* Makan sahur walaupun sedikit.
Riwayat dari Annas, katanya Rasulullah saw bersabda: "Bersahurlah kamu, kerana bersahur itu ada berkatnya." (Riwayat Bukhari dan Muslim) Rasulullah saw telah bersabda: "Makanlah sahur kerana ia menolong menguatkan kamu berpuasa pada siang hari."
* Melambatkan makan sahur, tetapi janganlah hingga terbit fajar
Riwayat dari Abi Dzar ujarnya: "Sentiasalah umatku dalam kebajikan selama mereka melambatkan sahur dan mencepatkan berbuka."
* Menyegerakan berbuka puasa
Abi Zar meriwayatkan: "Bahawa Nabi saw pernah bersabda: Umatku akan tetap segar-bugar, selama mereka melambatkan makan sahur dan berbuka dengan segera."
* Berbuka dengan buah tamar atau air sejuk
Diriwayatkan dari Annas: "Rasulullah saw berbuka sebelum solat dengan rutab (korma mengkal) kalau tidak ada. Baginda berbuka dengan tamar (korma biasa) dan jika tidak ada tamar Baginda minum dengan beberapa teguk air."
* Meninggalkan kata-kata yang keji seperti berbohong, mengumpat dan lain-lainnya
* Mandi hadas besar sebelum fajar
* Memperbanyakkan sedekah, derma, dan ibadah seperti membaca Quran, solat terawih, solat tahajjud dan witir
* Banyakkan beriktikaf di masjid
* Makan dan minum dengan cara yang sederhana
* Membaca doa berbuka:

"Ya Tuhanku, kerana Engkau aku berpuasa, kepada Engkau aku beriman dan dengan rezeki Engkau aku berbuka."

Bilakah seseorang itu dilarang dari berpuasa?

Orang Islam dilarang berpuasa pada hari-hari berikut:
1) Kedua-dua hari raya.
2) Hari-hari Tasyriq (11-13 Zulhijjah)
Orang Islam juga tidak digalakkan berpuasa pada hari-hari berikut:
1) Selepas 15 Syaaban
2) Hari Jumaat, Sabtu dan Ahad jika tidak berpuasa pada hari sebelum atau

Adakah bersahur merupakan salah satu daripada syarat-syarat sah puasa?

Bersahur itu adalah sunat sahaja dan ia bukannya syarat sah puasa. Ia merupakan amalan Nabi s.a.w., oleh itu kita digalakkan mengerjakannya.
Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada keberkatan." (Muttafaq alaih)
Kita disunatkan bersahur dan melewatkan waktunya. Bersahur juga dapat menguatkan tubuh badan, meringankan kepayahan berpuasa kerana kurangnya masa menahan lapar dan dahaga.
Agama Islam sentiasa memberi kemudahan dan galakan agar manusia suka melakukan amal ibadat kepada Allah. Sunat menyegerakan waktu berbuka dan melewat-lewatkan waktu bersahur. Orang Islam digalakkan bersahur walaupun sedikit. Memadailah dengan sebiji buah kurma atau seteguk air. Amalan ini adalah amalan Rasulullah.

Bolehkah seseorang itu berpuasa tanpa bersahur?

Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Ambillah Sahur kerana ia membawa banyak manfaat.” Sehubungan dengan itu, didapati bahawa Sahur itu sesuatu yang digalakkan dan bukanlah sesuatu yang wajib. Maka, seseorang itu masih boleh berpuasa walaupun tidak bersahur. Rasulullah s.a.w pernah terlepas Sahur tetapi beliau masih berpuasa.

Bagaimanakah puasa seorang yang berangkat dari luar negara pada waktu petang dan sampai ke Singapura pada waktu pagi keesokan harinya kerana dia akan berpuasa selama 20 jam.
Allah S.W.T. telah memberikan pengecualian khas bagi sesiapa yang dalam perjalanan atau musafir.
Oleh itu, seseorang yang bermusafir dan menghadapi kesukaran seperti yang anda sebutkan, dikecualikan dari kewajipan berpuasa. Maka sebaiknya musafir itu mengambil rukhsah atau keringanan yang diberikan oleh Allah S.W.T.

Apakah waktu berbuka puasa bagi sesiapa yang berpuasa di Kutub Utara/Selatan di mana waktu siang terlalu panjang sehingga 24 jam?

Memang tidak ada nas bagi masalah ini kerana ia termasuk perkara ijtihad ulama fiqh. Sayyid Sabiq menjelaskan bagi muslimin yang menetap di kutub mempunyai dua pilihan: Pertama: mengikut waktu berbuka dan imsak bagi Mekah atau Medinah. Kedua: mengikut negara terdekat, misalnya Canada dan Amerika Syarikat bagi kutub utara; manakala New Zealand atau Australia bagi kutub selatan. Begitu juga dengan berpuasa di musim panas, iaitu siang yang panjang, di mana mata hari terbenam pada pukul 9:45 malam, dan tiada “twilight period” (tiada waktu gelap di langit). Di dalam keadaan demikian, maka dia boleh membuat dua pilihan seperti di atas.

Adakah sah puasa seseorang yang belum sempat mandi hadas?

Puasa seseorang itu sah jika anda belum sempat mandi hadas kecuali setelah terbitnya fajar. Ini adalah kerana pada saat haid atau nifas terhenti, seseorang itu telah termasuk pada golongan orang yang wajib berpuasa, dan ini sama halnya dengan orang yang masih di dalam keadaan junub apabila telah masuk waktu fajar, yang mana puasanya sah berdasarkan firman Allah S.W.T. Ertinya : Maka sekarang campurilah mereka (isteri kamu) dan carilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar" [Al-Baqarah : 187].Jika Allah mengizinkan suami isteri bersatu hingga tiba waktu fajar, maka tentu sekali dibolehkan mandi junub setelah terbitnya fajar. Ini juga berdasarkan hadith Sayidatina Aisyah R.A.: "Bahawa Nabi S.A.W. di waktu Subuh masih dalam keadaan junub kerana mencampuri isterinya, dan beliau tetap berpuasa." Maksudnya bahawa Rasulullah S.A.W. tidak mandi junub kecuali setelah masuk waktu Subuh.
Read more