Showing posts with label Drs Ustaz Ahmad Dahri. Show all posts
Showing posts with label Drs Ustaz Ahmad Dahri. Show all posts

Al-Mu`izz, Al-Mudzill

YANG HINA DAN MULIA DI SISI-NYA.


ALLAH `Azzawajalla mengurniakan kemuliaan ke atas sesiapa
dan menghinakan sesiapa yang dikehendaki-NYA.



Sifat ini menunjukkan
ALLAH Maha Kuasa di atas segala sesuatu.
Dan sifat ini disebut Al-Mu`izz
(menganugerahi kemuliaan)



dan Al-Mudzill (merendahkan martabat).



Berdasarkan nama indah atau sifat tadi, jelaslah kekuasaan-NYA bersifat mutlak - mengatasi segala kuasa yang ada dan sekali gus membuktikan kelemahan makhluk-NYA. Sehebat mana pun seseorang insan seperti firaun, tetapi di sisi ALLAH `Azzawajalla adalah kehinaan.


Kurnia (martabat) dan sebaliknya merupakan ujian ALLAH `Azzawajalla kepada manusia. Ujian merupakan proses untuk menilai iman dan takwa seseorang. Kurniaan-NYA perlu disyukuri. Hal ini terpapar pada kegigihan RasuluLlah ShalALLAHu`alaihiwasalam bersolat malam sehingga ditegur isteri tercintanya, `Aisyah RadiALLAHu`anha, yang hairan.


RasuluLlah ShalALLAHu`alaihiwasalam menyatakan perbuatannya
sebagai tanda mensyukuri nikmat-NYA.


Jika dihitung nikmat Ilahi, tidak akan terkira oleh kita. Semakin kaya atau berilmu sehingga dipandang mulia, maka seseorang harus menunjukkan rasa kesyukurannya. Untuk itu janganlah berbangga diri dengan kelebihan yang ada.


Tidak perlu berduka cita jika ujian datang menimpa kerana kedua-duanya dengan kehendak-NYA. Kita diperintah bersyukur jika mendapat nikmat-NYA walau sekecil apa pun dan bersabar apabila mendapat ujian-NYA.


Sesungguhnya ALLAH `Azzawajalla akan menguji hamba-hamba-NYA dalam bentuk kebaikan dan keburukan. Dengan perkataan lain: Belum tentu baik itu akan menghasilkan kebaikan dan keburukan itu akan berakhir dengan keburukan malah mungkin kebalikannya.


Dalam kehidupan di dunia ini, kita hanya diperintah berbuat sesuatu sesuai dengan kemampuan dan petunjuk-NYA. Adapun hasil daripada usaha tersebut serahkan kepada-NYA kerana DIAlah yang Maha Kuasa di atas segala sesuatu. Seperti firman-NYA di dalam ayat 286, Surah Al-Baqarah:

"ALLAH tidak memberatkan seseorang melainkan sedaya kemampuan yang ada padanya."


Sebagai kewajipan hamba dalam memahami nama ALLAH `Azzawajalla di atas, hendaklah memuliakan sesuatu yang disuruh muliakan dan menghinakan sesuatu yang disuruh hinakan.


~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.



ALLAHu a`lam bisawab.
Read more

Al-Khaafidh, Ar-Raafi`

MENAHAN DAN MENGURNIAKAN ANUGERAH.


Apa jua di alam semesta ini dan isinya adalah kurnia ILAHI. Namun untuk ciptaan-NYA, menerima kurnia atau tidak merupakan pertimbangan-NYA.


Untuk itu, ALLAH menyatakan nama-NYA
sebagai Al-Khaafidh - bermaksud menahan nikmat
ke atas sesiapa yang dikehendaki-NYA kerana didapati menghina-NYA.




Sebaliknya, ALLAH `Azzawajalla bernama Ar-Raafi` kerana mengurniakan kepada para wali-NYA sebagai memberi pertolongan dan petanda memuliakannya
dan menempatkan orang-orang kafir kepada kecelakaan
dan kehinaan petanda menghinanya.


Dengan kata lain: ALLAH `Azzawajalla menempatkan orang-orang Mukmin di tempat kebahagiaan dan keamanan (Syurga) dan orang-orang kafir di Neraka.


Barangsiapa selamat hatinya daripada hal keduniaan yang penuh penipuan dan khayalan dan pujukan nafsu syahwat yang merugikan, sesungguhnya dia telah diangkat dan diselamatkan ALLAH dan menempatkannya bersama para malaikat-NYA.


Sebaliknya mereka yang hatinya penuh sesak dengan hal keduniaan dan khayalan serta mengikuti kemahuan hawa nafsu yang membinasakan, ALLAH `Azzawajalla menurunkan kedudukannya ke lapisan yang paling rendah.


Tiada sesiapa yang boleh merubah keputusan ini selain ALLAH `Azzawajalla kerana DIA sajalah yang sebenarnya Al-Khaafidh dan Ar-Raafi`.


Pengajaran daripada Al-Khaafidh dan Ar-Raafi` adalah hendaklah kita senantiasa menjunjung atau menjulang tinggi kebenaran sekalipun berdepan dengan halangan, cabaran dan gangguan.


Lantas, kita hendaklah menyingkir segala kepalsuan walaupun mendapat ganjaran.


~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.


ALLAHu a`lam bisawab.
Read more

Al-Qabidh, Al-Baasit

MELUAS DAN MENGECILKAN REZEKI.


AL-QABIDH
ialah nama ALLAH `Azzawajalla
yang menahan rezeki orang yang dikehendaki-NYA.



AL-BAASIT
pula adalah nama-NYA
yang mengecilkan rezeki.


Al-Qabidh juga merujuk kuasa ALLAH `Azzawajalla yang mengambil nyawa atau roh sewaktu berlaku kematian ke atas seseorang.


Al-Baasit juga merujuk kuasa ILAHI dalam meluluskan (memberikan) roh di kala seseorang itu berada dalam (kandungan) perut ibunya dan terus menghidupkannya.


Makna Al-Qabidh amat luas. ALLAH `Azzawajalla menyempitkan hati orang-orang yang tidak mengendahkan atau mereka yang kurang mengambil perhatian ke atas perintah dan larangan-NYA. Ini kerana orang sedemikian mengutamakan sesuatu yang kurang penting.


Dan seterusya Al-Baasit iaitu ALLAH `Azzawajalla meninggikan martabat orang-orang yang selalu mendekatkan dirinya dan memberi perhatian secara sungguh-sungguh akan segala perintah dan larangan-NYA.


Pelajaran yang dapat kita ambil daripada Al-Qabidh dan Al-Baasit ini hendaklah kita menutup fikiran dan pandangan kita terhadap sesuatu perkara yang selain ALLAH `Azzawajalla.

Sebaliknya bukalah pintu hati, mata dan pendengaran kita dalam rangka menyahut seruan ALLAH `Azzawajalla untuk mencari dan mendapatkan keredhaan-NYA.


Dan janganlah pula berasa bangga atau sombong dengan kekayaan yang dimiliki dan menghina orang-orang yang ALLAH `Azzawajalla sempitkan rezeki mereka. Sesungguhnya kedua-dua keadaan tersebut adalah ketetapan daripada ILAHI melalui nama-NYA, Al-Qabidh dan Al-Baasit.


~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.


ALLAHu a`lam bisawab.
Read more

Al-`Aliim

SETIAP SESUATU DIKETAHUI ALLAH.


Sering kali apabila kita berdepan dengan masalah tetapi tiada saksi, maka terlafaz kata-kata: "ALLAH Maha Mengetahui."


Nama indah ALLAH, Al-`Aliim, bererti Maha Mengetahui.
Pengetahuan ALLAH Subhana wa Ta`ala meliputi setiap sesuatu baik yang nyata mahupun yang tersembunyi, yang halus mahupun yang kasar, yang awal mahupun yang akhir dan pembukaan mahupun penyudahannya.


Sering diratibkan: "ALLAH Al-`Aliim Al-`Aliim Al-`Allam"
(ALLAH Maha Mengetahui, ALLAH Yang Maha Mengetahui dan ALLAH Yang Banyak Mengetahui).



Pengetahuan ALLAH menyeluruh ke atas setiap tempat. Tidak ada yang terselindung bagi-NYA. ALLAH mengetahui segala gerakan di darat dan di laut. Sehinggakan sehelai daun kayu jatuh ke bumi, tumbuhan menusuk tanah, yang kering dan yang mati, ALLAH mengetahui kesemuanya.


ALLAH mahukan kita memerhatikan alam ini dan belajar daripadanya untuk kita menyedari bahawa pengetahuan ALLAH meliputi segala sesuatu.


Ini terpapar dalam maksud firman-NYA:
"Tidakkah kamu perhatikan bagaimana unta itu dijadikan, dan bagaimana langit itu ditinggikan, bagaimana gunung itu dipacakkan, bagaimana bumi itu dibentangkan."
(Surah Al-Ghaasyiyah ayat 17-20)


Selanjutnya, ALLAH memerintahkan agar kita menyedari bahawa DIA mengetahui apa yang ada dalam diri kita.


Apabila kita mengimani bahawa ALLAH Mengetahui dan Melihat, maka tidak ada satu pun di bumi dan di langit yang boleh menutupinya, dengan demikian mendorong kita beristiqamah mematuhi perintah-NYA dan menjauhi larangan-NYA.


Inilah yang disebut sebagai ihsan berdasarkan penjelasan RasuluLlah ShalALLAHu`alaihiwasalam yang bermaksud:

"Beribadahlah kepada ALLAH seakan-akan engkau melihatNYA, jika tidak melihat-NYA, maka DIAlah yang melihatmu."
(Riwayat al-Muslim)


Kini dalam zaman serba canggih, kita dengan mudah boleh mengetahui segala sesuatu yang terjadi di luar negara melalui peralatan canggih ciptaan manusia. Dan ini kadangkala membuat para `ilmuan menjadi pongah (sombong) dengan pengetahuan yang dikuasainya.


Ya, memang manusia dapat memahami hakikat kehidupan dan rahsia di balik penciptaan sehingga ke tahap yang menakjubkan.


Mereka telah menemukan pelbagai cara dan peralatan untuk dapat mengenal rahsia di sebalik alam raya ini.


Tetapi apabila kita memerhatikan `ilmu ALLAH, maka kita akan sedar bahawa pengetahuan manusia hanya ibarat setitik air di atas lautan dan sebesar biji zarah di alam raya ini.


Tentang Al-`Aliim, Ibnu Qayyim RahimahuLlah berkata:

"DIA Maha Tahu, ilmu-NYA meliputi segala yang ada di alam raya, yang tersembunyi mahupun yang nyata. Pengetahuan-NYA meliputi segala sesuatu. DIA yang meliputi. Tidak ada yang terlupa. DIA mengetahui apa yang akan terjadi esok, yang telah terjadi kelmarin, yang ada saat ini dan yang belum terjadi."


~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.


ALLAHu a`lam bisawab.
Read more

Al-Fattah

KUNCI PEMBUKA PINTU RAHMAT ALLAH.


Tiada suatu pun di maya ini yang tertutup daripada ALLAH `Azzawajalla. Malah, ALLAH memperkenalkan diri-NYA sebagai Al-Fattah iaitu yang membukakan segala pintu rahmat bagi para hamba-NYA.


Dan membukakan segala permasalahan daripada ketidakjelasan, membukakan mata hati agar selalu melihat kebenaran.


Antara pintu yang luas daripada pemberian Tuhan (Al-Fattah Ar-Rabbaniyah) dan yang paling besar adalah pintu rahmat-NYA seperti yang dimaksudkan dalam firman-NYA:
"Apa sahja yang ALLAH anugerahkan kepada manusia berupa rahmat, maka tidak ada seorang pun yang dapat menahannya; dan apa saja yang ditahan oleh ALLAH maka tidak seorang pun yang sanggup untuk melepaskannya sesudah itu. Dan DIA-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."
(Surat Al-Fatir ayat 2)


Antara rahmat terbesar yang diberikan kepada hamba-NYA ialah keimanan di dalam hati, petunjuk atau hidayah, taufik dan `inayah-NYA yang ditetapkan-NYA untuk kebaikan dan kebenaran. Al-Fattah juga bermaksud 'pertolongan'. ALLAH menolong membukakan segala yang terkunci dan segala yang samar.


Suatu ketika, ALLAH membukakan kerajaan-NYA kepada para Nabi-NYA dan menyelamatkan mereka daripada kekuasaan musuh.


ALLAH menyingkap tirai hati para aulia (para wali atau penolong yang suci) dan membukakan bagi mereka pintu-pintu kerajaan langit-NYA. Di tangan-NYA segala kunci perbendaharaan yang ghaib tidak ada yang mengetahuinya melainkan DIA.


Selanjutnya, Al-Fattah pula bermaksud 'menghukum' iaitu ALLAH menghukum antara mereka yang Mukmin dengan yang kafir.


Dalam kisah Nabi Nuh Alaihisalam dan kaumnya yang ingkar, terpapar babak doa beliau kepada ALLAH agar diberikan keputusan terhadap dirinya dan kaumnya seperti yang diterangkan dalam firman-NYA:

"... Suatu keputusan antara aku dengan mereka, selamatkanlah aku dan orang-orang Mukmin yang menyertai aku."
(Surah Asy-Syu`araa ayat 118)


ALLAH pun memberikan keputusan terhadap Nabi Nuh Alaihisalam dan kaumnya dengan menyelamatkan mereka yang Mukmin dan menghancurkan mereka yang kafir, seperti yang diterangkan dalam firman-NYA:

"Maka Kami selamatkan Nuh dan mereka yang bersamanya di dalam kapal yang penuh muatannya, kemudian sesudah itu Kami tenggelamkan mereka yang tinggal."
(Surah Asy-Syu`araa ayat 119-120)


Untuk mencontohi nama ini, selayaknyalah kita memohon kepada ALLAH agar dibukakan pintu hati dan minda kita memahami segala perintah dan larangan-NYA.



~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.


ALLAHu a`lam bisawab.
Read more

Ar-Razzaaq

PEMBERI REZEKI.


Sering kita memohon rezeki
daripada ALLAH `Azzawajalla.
Salah satu nama-NYA merujuk kepada aspek rezeki iaitu Ar-Razzaaq yang bererti mengadakan beraneka rezeki dan punca-puncanya (jalan-jalannya).


Sebahagian ulama` berkata bahawa Ar-Razzaaq bermaksud ALLAH `Azzawajalla terlebih dahulu menyediakan rezeki bagi setiap sesuatu sebelum sesuatu itu lahir di permukaan bumi ini.


Ar-Razzaaq ialah melahirkan sesuatu yang ada bersama sifat-sifatnya seperti akal dengan sinar `ilmu, hati dengan cahaya kefahaman, roh dengan penyertaan dan penyaksian, tubuh dengan makanan yang sesuai menurut keperluannya.


Justeru, ALLAH `Azzawajalla meluaskan kehidupan seseorang dan menyempitkan yang lainnya.


Dengan kata-kata lain, rezeki seseorang telah ditentukan oleh ALLAH `Azzawajalla menurut kadar kebijaksanaan dan usahanya untuk meraihnya.


Ar-Razzaaq yakni ALLAH pemberi rezeki dan sumber segala rezeki. Oleh itu, janganlah mengharap-harap rezeki selain daripada-NYA.


Janganlah bertawakkal (berserah) melainkan kepada-NYA.


Dan janganlah berasa iri hati dengan kelebihan yang ada pada orang lain kerana ALLAH `Azzawajalla telah menetapkan rezeki untuknya sesuai dengan kehendak Ar-Razzaaq (ALLAH `Azzawajalla).


~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.



ALLAHu a`lam bisawab.
Read more

Al-Wahhaab

YANG MEMBERI TANPA HARAPKAN BALASAN.


SEGALA kurnia ALLAH Azzawajalla kepada kita merupakan nikmat yang tiada ternilai dan terhitung.



Hal ini memerikan sifat-NYA
iaitu Al-Wahhaab
- yang memberi tanpa diminta
atau sesuatu pemberian yang bersih
daripada mengharapkan balasan.


Sesungguhnya, ALLAH Azzawajalla Maha Pemurah dan Maha Pemberi sehingga segala isi alam ini diberi kepada manusia sebagai 'khalifah' iaitu pengamanah, pentadbir dan pemelihara.


Pemurah dan pemberinya ALLAH Azzawajalla bukan bertujuan mengharapkan balasan atau faedah daripada yang diberi-NYA.


Nama indah, Al-Wahhaab memancarkan keagungan ALLAH Azzawajalla dalam memberikan kurnia. Prof Dr Hamka berkata:

”Janganlah mengeluh apa yang diminta itu tidak terkabul. Banyak pemberian-NYA walaupun tidak diminta sebelumnya.”

Manusia juga dianjurkan memiliki sinar sifat Al-Wahhaab iaitu pemurah atau suka memberi kepada yang memerlukan tanpa mengharapkan balasan atau ganjaran.


Sebaliknya, ganjaran untuk si dermawan hanyalah kerana mencintai ALLAH Azzawajalla dan melaksanakan suruhan-NYA serta mengharap keredhaan-NYA.


Oleh itu, bersikap dermawan merupakan usaha untuk mendekati nilai sifat ALLAH Azzawajalla ini.


Malah dengan banyak bersedekah, menunaikan zakat dan suka memberi itu merupakan lambang dalam mensyukuri nikmat-nikmat-NYA yang banyak ke atas kita.


Inilah citra seorang insan yang senantiasa bersyukur kepada-NYA, sebagaimana janji-NYA:

”Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti KAMI akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-KU), maka sesungguhnya azab-KU sangat pedih.”
(Surah Ibrahim ayat 7)

~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.


ALLAHu a`lam bisawab.
Read more

Al-Qahhaar

TIADA SUATU DI LUAR KUASA-NYA.



AL-QAHHAAR
ertinya Maha Menguasai.
Ia adalah nama yang ke-16 menurut susunan.



ALLAH Azzawajalla menguasai sepenuhnya dalam perkara-perkara tadbiran-NYA.


Tidak ada yang maujud (ada) ini melainkan di bawah kekuasaan-NYA, dan semua tunduk di bawah perintah-NYA, sama ada dengan suka atau terpaksa seperti firman-NYA di dalam Al-Quran surah Al-An’aam ayat 18 yang bermaksud:

“Dan DIAlah Yang Maha Berkuasa ke atas hamba-hamba-NYA...”


Imam Ghazali RahimahuLlah berkata:

“Beruntunglah kita mengetahui bahawa ALLAH itu bersifat ‘Al-Qahhaar’ sebagai sifat keperkasaan yang mengatasi seteru-seteru-NYA lalu dikalahkan-NYA mereka dengan kematian dan kehinaan.”


Bahkan tiadalah yang maujud ini melainkan dengan sendirinya tunduk di bawah keperkasaan dan kekuasaan-NYA. Segala-galanya menjadi lemah (makhluk) kerana berada di dalam genggaman-NYA.


Lemahlah seseorang untuk menentang godaan syaitan sebagai musuh dan lemah pula untuk menentang nafsu sendiri.


Jika ia tidak diberikan ALLAH dengan kekuasaan (iman dan ilmu) untuk mengatasi kedua perkara ini nescaya seseorang mudah dikalahkan oleh syaitan (jin dan manusia) dan nafsunya.


Sejak zaman Bahari (Nabi Adam Alaihisalam), iblis telah bersumpah untuk merosakkan manusia menerusi godaan ke atas nafsunya dengan pelbagai daya tarikan dan tipu daya.


Oleh itu, seorang Mukmin yang kembali hendaklah berserah kepada ALLAH yang ‘Qahhaar’, selepas berikhtiar dengan gigih, bagi menghuraikan perkara yang besar ataupun yang kecil.


Seseorang yang memahami hakikat ‘Al-Qahhaar’ akan terhapus daripada hatinya perasaan cinta dunia dan kehebatan sesuatu selain ALLAH Azzawajalla.


ALLAH akan menolongnya dalam menghadapi musuh-musuhnya.


~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.


ALLAHu a`lam bisawab.
Read more

Al-Ghaffar

AL-GHAFFAR MENGAMPUNI DAN MENUTUPI AIB.


ANTARA nama indah
ALLAH Azzawajalla ialah 'Al-Ghaffar'.
Kata dasar 'Al-Ghaffar' ialah 'Al-Ghafr',
yang bererti tutup, selindung atau tudung.



Maksudnya ialah ALLAH menutupi dosa-dosa hamba-NYA dan mengampuninya semata-mata dengan kelebihan dan rahmat-NYA, seperti firman-NYA dalam hadiths Qudsi:

“Wahai hamba-KU, jika kamu mendatangi AKU (di akhirat) dengan dosa sepenuh bumi sekalipun, nescaya AKU berikan keampunan sepenuhnya kepadamu selama kamu belum menduatigakan (syirik) AKU.”


Al-Ghaffar adalah yang menzahirkan kebaikan dan menutupi kekejian di dunia dan memaafkan daripada melakukan seksaan-NYA di akhirat.


  1. Disebutkan bahawa Al-Ghaffar itu ialah tutupan kerana DIA yang pertama-tama menutupkan hati-hati mereka daripada godaan syaitan. DIA menjadi ‘penudung’ untuk kebaikan kemanusiaan.

  2. Kedua, tutupan ALLAH terhadap lintasan-lintasan hati mereka yang tercela dan kehendak-kehendak mereka yang keji sehingga tidak kelihatan hal itu kepada seseorang.

  3. Ketiga ialah tutupan ALLAH pada mengampuni dosa-dosa si hamba untuk melindungi keaibannya di hadapan makhluk-makhluk (di akhirat).

Sesungguhnya ALLAH telah menjanjikan mereka bahawa akan digantikan kejahatan dengan kebaikan.


Sebagai kewajipan hamba terhadap Al-Ghaffar, hendaklah dia berusaha menutupkan keaiban orang lain seperti maksud sabda Baginda SallALLAHualaihiwasalam:

“Barangsiapa menutupi keaiban seseorang Mukmin, nescaya ALLAH akan menutupi keaiban dirinya di hari kiamat.”
(Hadiths Riwayat Bukhari)


Sesungguhnya telah diberitakan tentang Nabi Isa Alaihisalam bahawa dia bersama penolong-penolongnya (Hawari) telah menjumpai bangkai seekor anjing yang sudah membusuk.


Maka bertanyalah penolong-penolongnya:

”Mengapa bangkai ini busuk sekali?”


Nabi Isa Alaihisalam menjawab:

”Sebaik-baik perkara ialah yang putih bersih.”


Maksudnya ialah sebagai penjagaan atau penudung bagi mereka, maka mereka hendaklah menyebutkan perkara-perkara yang baik-baik saja.


~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.


ALLAHu a`lam bisawab.
Read more

Al-Khaliq, Al-Baari', Al-Musawwir

MAHA MENCIPTA, MEREKA DAN MERUPAKAN.


AL-KHALIQ
ertinya mengadakan
sesuatu yang belum ada.




AL-BAARI’
ertinya yang menciptakan sesuatu kejadian
mengikut peraturan (nidzam) yang ditetapkan.





AL-MUSAWWIR
pula ertinya merupakan setiap kejadian
menurut ketetapan-NYA sejak azali (permulaan)
menurut ilmu-NYA yang tersedia dan inilah yang dikatakan Al-Hakim.


DIAlah yang Maha Bijak menyesuaikan sesuatu rupa pada tempatnya, menciptakan makhluk mengikut kehendak-NYA sendiri tanpa dipengaruhi sesiapa pun. Sesungguhnya ketiga-tiga nama ini (Al-Khaliq, Al-Baari' dan Al-Musawwir) adalah semakna, yang kesemuanya bererti yang Maha Mencipta, Mereka (Membentuk) dan Merupakan.


Menurut Imam Ghazali Rahimahullah, sesuatu pekerjaan itu bukanlah setakat menjadi dan merekakan sahaja kerana setiap perkara yang diadakan daripada (tidak kepada ada) itu perlu kepada takdir (ketetapan) dari awal-awal (permulaan) lagi dan memerlukan persesuaian ketetapan yang kedua iaitu (qada').


ALLAH Azzawajalla mengadakan semuanya itu menurut kekuasaan-NYA, mencipta menurut rekaan dan ciptaan-NYA dan merupakan sesuatu rekaan dengan sebaik-baik peraturan-NYA.


Dalam memahami nama-nama perbuatan ALLAH ini, kita perlu membuat perbandingan dengan seorang jurutera yang hendak mendirikan sesebuah bangunan.


Sesuatu bangunan itu memerlukan pelan-pelan yang tertentu seperti kedudukan tanahnya, susunan batu dan kayu serta ukuran tinggi dan lebarnya. Kemudian tanah itu ditandai dan dipancang, barulah kemudian diperlukan bahan-bahan untuk mendirikan bangunan dan sebagainya.


Berlainan halnya dengan perbuatan ALLAH kerana DIA sendiri yang membuat ketetapan (pelan-pelan), mencipta dan kesemuanya. Tegasnya, ALLAH sendiri yang mencipta dan merupakan (membentuk) sesuatu.


Manusia adalah salah satu daripada makhluk-NYA yang memerlukan kepada adanya sesuatu, lalu dijadikan perawakan tubuh, kemudian dimasukkan nyawa (roh) dan sifat yang memanusiakan yang hidup lagi berakal.


Demikianlah perbandingan ketetapan urusan dan mencipta daripada tiada kepada ada. Dengan lain perkataan, ilmu ALLAH mencakupi segala sesuatu, dalam pengetahuan-NYA segala sesuatu, dan segala sesuatu tunduk kepada kekuasaan dan kehendak-NYA.


~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.


ALLAHu a`lam bisawab.
Read more

Al-Mutakabbir


AL-MUTAKABBIR
ertinya
Maha Megah.



Memandang sesuatu secara kehinaan kerana kebesaran dan keagungan itu merupakan hak mutlak ALLAH Azzawajalla sahaja.


Pandangan-NYA kepada yang lain seperti pandangan raja kepada rakyatnya - tiadalah pengertian yang demikian secara mutlak dan sempurna melainkan hanya bagi ILAHI sahaja.


Dikatakan bahawa sifat kesombongan dan keagungan itu ialah semata-mata untuk menceritakan peri patut dan layaknya ALLAH Azzawajalla bersifat dengan kebesaran dan kesempurnaan.


Al-Mutakabbir adalah kumpulan bagi makna-makna ‘membersih’ (bersih daripada sifat-sifat kekurangan). Maka barang siapa yang mengenal Ketinggian ALLAH, Kebesaran dan Keagungan-NYA pastilah dia berasakan kerendahan dan kehinaan dirinya.


Ini seperti sabda Baginda ShalALLAH`ualaihiwasalam yang bermaksud:
“ALLAH mengasihi seseorang yang mengenal kedudukan dirinya, menyebabkan dia tidak melanggar batas-batas ke dudukannya.”


Kesombongan, jika dipandang dari sifat kemakhlukan (kemanusiaan), adalah tercela kerana sesungguhnya makhluk adalah bersifat kekurangan. Maka orang yang sombong memaksakan dirinya bersifat dengan sifat-sifat yang tidak layak.



Dalam hadiths Qudsi, ALLAH Azzawajalla berfirman yang maksudnya:

"Keagungan (kesombongan) itu Selendang-KU dan kebesaran itu Sarung-KU, maka sesiapa yang merebutkan kedua-duanya daripada-KU, nescaya AKU murkai dan AKU tidak akan mempedulikannya."
(Hadiths Riwayat Muslim)


Pengertian keagungan dan kebesaran itu adalah sama. Sifat kibriya itu adalah untuk mengemukakan sifat-sifat kebesaran yang nyata, sedang adzamah pula untuk menyatakan sifat-sifat kebesaran yang batinnya sesuai dengan perbandingan kain selendang (di luar) dan kain sarung (di dalam).



~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.


ALLAHu a`lam bisawab.
Read more

Al-Jabbar

SIFAT PERKASA ALLAH.


KITA sering mendengar ungkapan: Manusia merancang, Tuhan menentukan. Begitulah dengan resam alam. Manusia sentiasa berkehendak, namun kehendak ILAHI mengatasi segalanya.



Sifat Maha Berkehendak lagi Maha Perkasa terpapar dalam nama indah ALLAH Azzawajalla iaitu ‘Al-Jabbar’.


ALLAH mempunyai kehendak (Iradah) dan DIA-lah yang meluluskan kehendak-NYA pada tiap-tiap sesuatu dan kehendak-NYA tidak dapat diluluskan seseorang pun. Tidaklah terkeluar seseorang daripada genggaman-NYA, segala kuasa adalah di bawah kekuasaan dan perlindungan-NYA.


Maka ‘Al-Jabbar’ adalah sifat yang mutlak bagi ALLAH saja. Al-Jabbar Maha Perkasa, mencukupi segala keperluan, melaksanakan segala perintah-NYA serta memperbaiki keadaan seluruh makhluk-NYA.


Hamba yang bersifat ‘Al-Jabbar’ ialah yang berkedudukan sebagai pengawas (pemerintah) yang terlepas daripada mengikut orang lain dan boleh memaksa para pengikutnya kepada keadaan dan sikapnya. Dia boleh memerintah orang tetapi dia tidak boleh diperintah, orang lain mengikutnya tetapi dia tidak mengikut orang.


Tiadalah bahagian si hamba pada sifat ini melainkan hanya tertentu kepada penganjur manusia iaitu Nabi Muhammad ShalALLAHu`alaihiwasalam seperti sabdanya:
"Jika Nabi Musa masih hidup, tiadalah dia berkuasa melainkan mengikutkan aku kerana akulah penganjur anak-anak Adam tetapi tiadalah aku bermegah-megah kerananya."


~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.


ALLAHu a`lam bisawab.

Read more

Al-Aziz

MOHON KEKUATAN, KEJAYAAN.


NAMA indah kesembilan
pada ALLAH Azzawajalla
ialah Al-Aziz.



Asal kekatanya ialah ‘Al-Izzah’ yang bermaksud ‘kuat dan menang’. Erti ‘kuat dan menang’ yang dimaksudkan ialah terbatas daripada tanggapan pancaindera dan terangkat daripada sifat-sifat makhluk.


Seorang alim, Abdul Karim Qutb Ad-din Ibn Ibrahim Al-Jili (1365-1424M), berkata:
"Al-Aziz itu ialah yang besar kedudukan-NYA. Ia tidak boleh dikenal atau dikesan semata-mata fahaman (fikiran) dan tanggapan (pancaindera) sedangkan zat-NYA adalah terkaya, tidak memerlukan kepada yang lain."


Menurut Al-Imam Ghazali rahimhullah:

"Al-Aziz itu ialah yang berkedudukan tinggi, yang tidak wujud seperti-NYA. Dia sesuatu yang amat diperlukan orang lain, dan untuk menghubungi-NYA bukanlah dengan cara sebarangan."


Seseorang yang hendak memakai sifat Al-Aziz hendaklah dia mengusahakan supaya dia diperlukan oleh hamba-hamba ALLAH untuk melaksanakan kerja-kerja yang penting bagi kehidupan akhirat dan kebahagiaan abadi.


Ya Aziz - Tuhan yang Maha sempurna kekuasaan-NYA mempunyai kekuasaan yang tidak terkalahkan oleh sesiapa pun dan tiada seorang jua yang dapat melepaskan diri daripada kekuasaan-NYA.


Kekuasaan ALLAH Azzawajalla berlaku menurut sunah (peraturan-NYA yang tersendiri) sedang sunah ALLAH yang menjadi dasar-dasar pentadbiran-NYA adalah melengkapi segala kemuslihatan yang terang atau yang tersembunyi.


~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.

ALLAHu a`lam bisawab.
Read more

Al-Muhaimin

MEMERHATI, MEMERINTAH DAN MENJAGA.


INDAH nian nama ALLAH
yang terdapat
dalam kekata Al-Muhaimin.


Ia bermaksud ALLAH Maha Memelihara atau Maha Mengurus. Tentulah ALLAH Azzawajalla yang memelihara dan menguruskan segala urusan makhluk-NYA dalam perbuatan-perbuatan mereka, tentang rezeki dan ajal mereka dengan memerhati, memerintah dan menjaganya. Maka himpunan ketiga-tiga pengertian (memerhati, memerintah dan menjaga) itulah yang terkandung dalam sifat Al-Muhaimin. Tiada persoalan yang berhimpun secara mutlak dan sempurna melainkan bagi ALLAH.


Al-Muhaimin nama ALLAH yang terdapat dalam kitab-kitab yang terdahulu. Maknanya ialah yang terbuka sifat-NYA kepada alam ini dan sesuatu yang berhubungan dengan alam tersebut. Dialah (ALLAH) penjaga yang bertanggungjawab dengan penjagaan dan pemeliharaan yang sempurna. Al-Muhaimin juga membawa maksud sifat pemerhati - Maha Teliti dalam penjagaan dan pengintaian. Juga erti Al-Muhaimin ialah Asyahid (Yang Menyaksikan).


Pelajaran yang kita ambil daripada nama ALLAH, "Al-Muhaimin" ini adalah:

  • Hendaklah kita membuat penjagaan di atas diri sendiri dengan memeriksanya dan berhati-hati dalam setiap tindakan atau pekerjaan.
  • Jagalah perkataan kita bak peribahasa - sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa.
  • Jagalah hati kerana hati menguasai seluruh tindakan dan penuturan kita.


Amalkan selalu membaca ‘Ya ALLAH Ya Muhaimin’ agar kita sedar akan keindahan dan makna tindakan, tutur kata dan hati yang perlu dijaga dan diaturkan.

Semoga ALLAH membersihkan zahir dan batin kita agar terus bercahaya pula kalbu kita. (Amin ya RABB...)


~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.


ALLAHu a`lam bisawab.

Read more

Al-Mukmin

MEMBERI JAMINAN, KESELAMATAN DAN KEAMANAN.



AL-MUKMIN bererti mempercayai dan mengamankan (menyelamat).
Ia merupakan satu daripada 99 nama ALLAH Azzawajalla yang wajib umat Islam ketahui.



Kepada-NYAlah berlindung orang-orang yang takut, kerana tidaklah mencari keselamatan itu melainkan sewaktu takut, dan tidaklah takut melainkan sewaktu adanya kekurangan dan kebinasaan. ALLAH Azzawajalla mempercayai akan semua Nabi dan Rasul-NYA dan mengamankan seluruh makhluk daripada sebarang mara bahaya.


Oleh itu, Al-Mukmin juga merujuk kepada izin ALLAH membenarkan orang-orang pilihan-NYA iaitu para anbiyaa wal mursalin dengan mengizinkan mukjizat dan karamah sebagai bukti kebenaran mereka. Bahkan ALLAH Azzawajalla memberikan wahyu sebagai risalah yang dibawa para Rasul sebagai bukti kebenaran mereka.


Kewajipan si hamba pada nama ini, hendaklah dia menyelamatkan orang lain daripada kejahatannya dan melindungi orang-orang yang takut atau dalam kecemasan daripada malapetaka dirinya, tentang agamanya dan dunianya seperti maksud sabda Nabi Muhammad ShalALLAHu`alaihiwasalam:

“Barangsiapa yang beriman kepada ALLAH dan Hari Akhirat, hendaklah dia menyelamatkan jirannya daripada kebinasaannya.”

Sifat Al-Mukmin juga diberikan ALLAH Azzawajalla kepada para hamba-NYA yang senantiasa menyelamatkan makhluk (manusia) daripada seksaan ALLAH Azzawajalla dengan menunjukkan atau membimbing mereka ke jalan ALLAH dan memberi mereka petunjuk ke jalan kemenangan.


Inilah tugas para Nabi dan ulama’ seperti maksud sabda Baginda SalALLAHualaihiwasalam:
“Bahawasanya kamu berterkaman ke dalam api (neraka) sebagaimana berterkaman belalang-belalang, dan aku adalah orang yang memegang pinggang kamu (menengahkan
kamu).”

Antara kata-kata indah Syekh Abdul Qadir Al-Jailani ialah:

"ALLAH telah melimpahkan ke atas kami bantuan yang berupa Rahmani (Pengasih) ketahuilah sesungguhnya keserupaan pada nama-nama itu tidaklah dikatakan berserupaan pada zat."


~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.


ALLAHu a`lam bisawab.
Read more

As-Salam

MENGHAYATI AS-SALAM, DEMI JALAN YANG SELAMAT.


AS-SALAM ertinya terpelihara daripada kekurangan atau menyelamatkan orang-orang yang beriman daripada azab seksaan dan menyelamatkan orang-orang yang beriman sehingga mereka memasuki syurga kelak.


Dalam erti yang pertama, Zat ALLAH itu adalah suci daripada keaiban, manakala sifat-NYA bebas daripada kekurangan dan perbuatan-NYA terselamat daripada kejahatan atau kecurangan. Tiadalah yang dituju oleh zat-NYA selain kebaikan yang besar atau terlebih besar.


Sebagai kewajipan hamba berhubungan dengan nama ini, hendaklah dia supaya orang-orang Mukmin terselamat daripada lidah dan tangannya, seperti sabda baginda ShalALLAHu`alaihiwasalam yang bermaksud:

"Mukmin adalah orang yang terselamat daripada (ancaman) lidahnya dan tangannya."

Dan kalimah As-Salam ini sering kita ucapkan khususnya setelah selesai solat yang bermaksud:
"Ya ALLAH! Engkaulah yang Mempunyai dan yang Memberi Keselamatan dan Daripada Engkaulah Keselamatan, Maha banyak Keberkatan Engkau, wahai Tuhan yang Mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan. Ya Tuhan Pemberi Selamat, selamatkanlah kami daripada fitnah atau bencana dunia dan seksa di akhirat."

Justeru mohonlah keselamatan siang dan malam kepada ALLAH Azzawajalla. Sesungguhnya hanya DIA saja yang mampu memberikan keselamatan tersebut.


~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.


ALLAHu a`lam bisawab.
Read more

Al-Quddus

KESUCIAN YANG MAHA AGUNG.

KATA dasar ‘Al-Quddus’ ialah ‘Al-Quds’
yang bererti suci atau bersih.
Daripadanya muncul perkataan
Al-Ardhul Muqaddasah ertinya Bumi Suci.



Al-Quddus yang dimaksudkan di sini ialah satu nama yang menunjukkan bahawa ALLAH itu bersih daripada kekurangan dan kebinasaan. Wajib ke atas-NYA bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan.


Dalam kata-kata lain, ALLAH Azzawajalla Maha Suci daripada sifat tanggapan-tanggapan pancaindera, gambaran-gambaran khayal, persangkaan-persangkaan dan lintasan-lintasan hati, seperti maksud firman ALLAH di dalam Al-Quran surah Ash-Shaffat ayat 180:
"Maha Suci Tuhanmu Yang mempunyai keperkasaan daripada apa yang mereka katakan atau sifatkan."

Demikian pula maksud sabda baginda ShalALLAHu`alaihiwasalam :

"Setiap yang terlintas di hatimu adalah binasa sedangkan ALLAH tidak binasa."

Sesungguhnya lafaz ‘Al-Quddus’ yang bersaingan dengan lafaz ‘Al-Malik’ adalah untuk perhatian para penguasa (pemerintah) bagi mengambil sikap mengubahkan keaniayaan dan kezaliman, juga bagi meluruskan perjalanan hukum-hukum.


Bagi ALLAH Azzawajalla tidak ada sesuatu yang menghalangi kerajaan-NYA seperti berlakunya gangguan-gangguan yang kerap terjadi kepada para penguasa atau pemerintah yang lain.


Untuk mendampingi nama ‘Al-Quddus’ ini, maka si hamba hendaklah menghubungi ALLAH dengan membersihkan kepercayaan terhadap-NYA dan membuang jauh-jauh adanya sifat-sifat seimbang dengan ALLAH pada sesuatu yang lain daripada ALLAH Azzawajalla.


Perbanyak menyebut kalimah tersebut siang dan malam insyaALLAH akan terhindar daripada sifat-sifat syirik kepada ALLAH.


~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.


ALLAHu a`lam bisawab.
Read more

Al-Malik

MERAJAI SELURUH ALAM.



AL-MALIK ialah Yang Maha Merajai dan Maha Berkuasa pada Zat dan Sifat-NYA daripada setiap yang maujud (yang ada), dan DIA dikehendaki oleh setiap yang ada. Dan adanya sesuatu itu adalah daripada adanya DIA (ALLAH) atau yang datang daripada-NYA.


ALLAH Azzawajalla Maha Terkaya daripada setiap sesuatu dan DIAlah pemilik yang mutlak (sebenar-benarnya). ALLAH mentadbirkan semua makhluk tanpa berhajat kepadanya dan tidak ada tandingan kebesaran dan ketinggian-NYA.


Tiadalah diiktiraf bahawa manusia mempunyai kerajaan mutlak kerana setiap sesuatu yang dimiliki manusia adalah kepunyaan ALLAH belaka, dan setiap sesuatu yang mungkin memerlukan setengah perkara dan tidak perlu kepada yang lain, maka itu adalah suatu ketetapan daripada ‘Al-Malik’ (Pengatur - ALLAH).


DIAlah sebagai Pemilik Kerajaan yang terdiri daripada tentera-tentera (malaikat-malaikat) dan rakyat-rakyat (penghuni bumi) yang senantiasa patuh kepada-NYA.


Adapun manusia merupakan sebuah kerajaan yang dipimpin oleh hati dan perubahan. Maka tentera manusia ialah syahwat keinginannya, kemarahan dan nafsunya dan rakyatnya ialah lidah, tangan, mata dan sekalian anggotanya.


Jika seseorang hamba terfikirkan dia masih mempunyai milik dalam kehidupan yang fana ini, maka sedarilah bahawa keupayaannya itu akan hilang pada bila-bila masa saja daripadanya dengan dua jalan:

Pertama: Sama ada dia meninggal dunia atau ditinggalkannya atau diberikannya kepada orang lain sedangkan ALLAH adalah pemilik hidup dan mati dan pemilik hidup kembali.


Kedua: Gugurlah pengakuan memilik selain ALLAH berikutan tiupan pertama (mula kiamat) yang sewaktu itu ALLAH membuat pertanyaan kepada makhluk dengan firman-NYA:

"Bagi siapakah kerajaan pada hari ini?’ Tiada seorang pun yang menjawab lalu ALLAH sendiri menjawabnya dengan firman-NYA: Bagi ALLAH Yang Maha Esa dan Maha Perkasa."
( surah Al-Ghafir ayat 16 )

Disebabkan itu, tiadalah pengakuan kerajaan bagi yang lain daripada ALLAH sendiri. Raja hanya seorang di dalam sebuah negara. Begitu jugalah alam semesta dunia ini. Hanya seorang Raja atau Pemerintah Yang Maha Agung iaitu ALLAH Azzawajalla.


Erti ‘raja’ itu tertentu pada yang berakal saja yang bertugas, menyuruh, melarang dan membalas. Boleh disebut ‘raja’ manusia, tetapi tidak boleh disebut ‘raja’ sesuatu seperti firman ALLAH:
Katakanlah aku berlindung dengan Tuhan manusia, Raja manusia."
( surah An-Naas ayat 1-2 )

Raja manusia ialah yang menguasai manusia, membatasi pekerjaan manusia, mengatur kekuatan manusia, menurunkan peraturan dan meletakkan batas umum untuk manusia yang tidak boleh dilanggar atau dilampaui oleh manusia.


DIAlah yang mempunyai sekalian perkara. Begitu juga kuasa mengadakan atau menjadikan barang yang belum pernah terjadi.


~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.


ALLAHu a`lam bisawab.
Read more

Ar-Rahim

KASIH ALLAH AMAT LUAS DI SEBALIK AR-RAHIM.



AR-RAHIM adalah kata terbitan daripada Ar-Rahman yang kata dasarnya Ar-Rahmah. Ia bermaksud melimpahkan kebaikan kepada seluruh makhluk-NYA.


Ada perbezaan halus (nuansa) antara Ar-Rahim dan Ar-Rahman. Ar-Rahman (Pemurah) ini umum bagi orang mukmin, orang kafir dan sekalian makhluk-NYA. Tetapi Ar-Rahmah yang menerbitkan kata Ar-Rahim ini adalah khusus atau tertentu kepada orang-orang yang beriman saja sebagaimana firman ALLAH Azzawajalla:
"Adalah ALLAH mengasihi orang-orang yang beriman."
( surah Al-Ahzab ayat 43)

Sehubungan dengan nama ini, kita sebagai hamba ALLAH hendaklah melestarikan sifat tersebut di dalam diri kita. Caranya adalah dengan mengasihi dalam hati dan melaksanakan dalam bentuk tindakan seperti memberikan pertolongan kepada orang orang miskin dan bersikap kasihan-belas terhadap sekalian hamba ALLAH yang taat mahupun yang maksiat (dalam batas-batas tertentu) sebagaimana para ahli hukum berkata:
"Kasihilah orang-orang yang di bumi nanti kamu akan dikasihi pula oleh yang ada di langit."

Perkataan Ar-Rahman memberi pengertian bahawa ALLAH itu Maha Pemurah tetapi tidak menunjukkan tetapnya sifat demikian. Untuk menegaskan bahawa ALLAH melimpahkan rahmat ke atas para hamba-NYA dengan tetap, maka disifatkan Dia dengan Ar-Rahim kerana sifat rahmat itu memang sifat yang tetap bagi-NYA.


Ar-Rahman menunjukkan zat yang bersifat kasih atau sayang dan apa-apa yang terkandung dalam pengertian itu yang difahamkan sebagai sifat seperti Pemberi, Pemurah, Pembela dan sebagainya. Erti Ar-Rahim itu pula menunjukkan zat itu bersifat tidak lekang dengan kasih dan sayang, tanpa memandang satu persatu.


Segala kesayangan dan kasih-NYA tidak putus-putusnya dan tidaklah Dia kasih di satu-satu waktu dan masa saja tetapi kekal selama-lamanya. Contohnya: Guru bermurah mengajar sekalian muridnya. Tetapi dalam memberi markah, guru perlu memilih antara mereka yang patut atau layak saja.


Begitulah ALLAH Azzawajalla bermurah kepada semua hamba-NYA (mukmin dan kafir) tetapi Dia hanya mengasihi orang-orang mukmin saja. Sabda Rasulullah ShalALLAHu`alaihiwasalam yang bermaksud:
"Orang yang pengasih itu dikasihi ALLAH Ar-Rahman (kerana itu) kasihanilah orang-orang yang dimuka bumi supaya kamu dikasihi oleh yang di langit (ALLAH dan para malaikat-NYA)."
( Mafhum al-hadiths )

Baginda juga berpesan bahawa tidaklah seseorang itu beriman sehingga dia mengasihi ALLAH dan rasul-NYA lebih daripada segalanya.


Dan ada ulama' berpendapat Ar-Rahman membawa keberkahan ke atas seluruh umat manusia, termasuk yang kafir. Tetapi Ar-Rahim hanya diberikan kepada hamba mukmin di akhirat kelak.


~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.


ALLAHu a`lam bisawab.
Read more

Ar-Rahman

MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG.



AR-RAHMAN dan Ar-Rahim
daripada kata dasarnya, Ar-Rahmah.



Ar-Rahman adalah perkataan yang dipakaikan kepada orang yang pengasih, yang menjadi tempat pergantungan orang lain sedang Ar-Rahmah yang sempurna ialah Yang melimpahi kurnia kepada si hamba sama ada dipinta atau tidak serta umum untuk dunia dan akhirat. Kepada mereka diberikan keperluan, hajat dan kepentingannya.


Kalangan ulama' berpendapat, Ar-Rahman itu ialah memberikan keperluan dalam urusan dunia dan Ar-Rahim ialah yang memberikan keampunan di akhirat. Ar-Rahman lebih khusus daripada Ar-Rahim kerana ia tidak boleh dipakaikan kepada yang lain daripada ALLAH Azzawajalla, sedangkan Ar-Rahim boleh dipakaikan kepada yang lain sebab ia mendekati sifat seperti Al-Ilmu (Yang Mengetahui).


ALLAH Azzawajalla berfirman:
"Pohonilah ALLAH atau pintalah kepada Ar-Rahman. Mana-mana juga nama yang kamu pohonkan."
( Surah Al-Isra' ayat 110 )

Maka kata Rahmah itu dapat difahamkan daripada kata Ar-Rahman (Pengasih) melebihi daripada segala yang kasih.


Dengan kata lain, ALLAH Maha Pengasih, ALLAH tidak pernah berpilih kasih. ALLAH Maha Penyayang, kasih ALLAH tidak terbilang.


Kerana itu Ar-Rahman adalah yang mengasihi hamba dalam empat peringkat:

  • pertama - DIA menciptakan hamba-NYA;
  • kedua - DIA menunjuk mereka kepada keimanan dan jalan-jalan kebahagiaan;
  • ketiga - DIA memberi kebahagiaan di akhirat; dan
  • keempat - DIA melahirkan keseronokan kepada hamba-NYA apabila dapat memandang wajah-NYA Yang Maha Mulia (di dalam syurga).

Berhubung dengan nama Ar-Rahman ini maka kita, selaku hamba ALLAH Azzawajalla, berkewajiban mengasihi hamba-hamba ALLAH lainnya (termasuk bukan Islam), seperti mengajaknya ke jalan kebaikan apabila mereka lalai, dan mencegahnya apabila mereka terjebak ke dalam kancah maksiat melalui pengajaran dan nasihat melalui konsep (Ar-Rahmah) iaitu mengasihi orang-orang yang derhaka.


Menurut tatanan bahasa Arab, setiap kalimah yang wazan (setimbang) dengan Ar-Rahman menunjukkan sifat yang mendatang dan yang sewazan (setimbangan) dengan Ar-Rahim menunjukkan sifat yang tetap. Kerana itu makna Ar-Rahman ialah yang melimpahkan nikmat dan kurniaan manakala Ar-Rahim itu menunjukkan rahmat ALLAH itu berlanjutan dan tetap ada. Seseorang yang berbuat baik mendapat pahala dan hasil yang berguna sebagai tanda ALLAH Azzawajalla mengasihinya.


Sebaliknya seksaan ALLAH ke atas orang yang berbuat maksiat. Ini juga tanda kasih ALLAH. Kalau tidak dilaksanakan aturan itu, tentu terjadi kebinasaan dan huru-hara di dunia ini. ALLAH Azzawajalla mempunyai ihsan dan nikmat, sekalian hamba-NYA karam di dalam nikmat ALLAH. Tidak boleh seseorang memberikan nikmat itu atau menghalangnya. Daripada kemurahan-NYA, setiap makhluk-NYA menerima rezeki dan pemeliharaan-NYA.


Selanjutnya ALLAH mengatur seluruh alam ini bukanlah kerana terpaksa, bukan pula kerana mengharapkan balasan daripada sesiapa, bahkan semata-mata kerana sifat Rahman dan Rahim-NYA.


~ Nama Indah ILAHI.
Oleh : YB Drs Ustaz Ahmad Dahri.


ALLAHu a`lam bisawab.




Read more